Berita, Rencana

Wanita DAP Sabah anjur program perkasa wanita

Kenyataan Media oleh Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.

Dalam mendepani fasa abad ini, prestasi dan kemajuan dalam pelbagai bidang tidak lagi diukur secara aset fizikal tetapi sebaliknya melalui modal insan.

Kepelbagaian gender (gender diversity) yang menduduki jawatan tertinggi di dalam pelbagai tingkat heirarki jawatan merupakan asbab utama yang menyumbang kepada pengurusan dan pentadbiran yang sangat berkualiti dan cemerlang.

Malaysia, walaupun masih bertatih menuju ke arah penyertaan 30% wanita sebagai pemimpin dan pembuat keputusan, telah mengambil langkah kanan ke arah ini demi menyahut seruan dan saranan pelbagai pihak termasuk daripada pihak organisasi bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan isu pemerkasaan wanita.

Menerusi usaha PACOS Trust, organisasi yang menganjurkan siri 1 Latihan Kepimpinan Wanita Orang Asal Sabah yang bermula dari 8 Disember sehingga 11 Disember ini, ternyata bukan omong kosong demi mensiap-siagakan golongan wanita agar berilmu dan berani tampil ke hadapan sebagai pemimpin komuniti setempat.

Idea yang digarap daripada cetusan penuh iltizam oleh Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang ini akan dilaksanakan sebanyak empat siri atau peringkat yang akan lengkap sepenuhnya pada tahun 2022. Terdapat 4 modul dalam 4 siri latihan yang telah dihasilkan oleh pakar-pakar penulis modul iaitu Konsep Kepimpinan, Undang-Undang Adat, Pentadbiran dan Bangkit Sebagai Pemimpin.

Jannie menegaskan bahawa bakal pemimpin wanita seharusnya tampil lengkap dengan pakej ilmu agar boleh mendepani pelbagai cabaran dan permasalahan semasa memegang jawatan sebagai JPKK, Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Anak Negeri dan Ketua Daerah kelak.

“Kami telah memilih barisan wanita di kalangan yang proaktif untuk menjalani Latihan Kepimpinan Wanita ini dan mereka perlu menjalani 4 peringkat latihan sebelum keluar dan bersedia mengambil-alih jawatan sebagai pemimipin komuniti,” tambah beliau lagi.

Seramai 175 wanita di seluruh Sabah telah terpilih menyertai Latihan Kepimpinan Wanita Orang Asal ini yang dilaksanakan secara alam maya dan serentak berpusat di Pacos Trust, Penampang dan lapan pusat kecil seperti di Keningau, Sandakan, Tawau, Pitas, Kota Marudu, Pulau Banggi dan selebihnya mereka yang mengikuti sesi latihan secara talian dari rumah.

Toleransi dalam pembahagian jawatan menurut kepelbagaian gender amat penting untuk diimplementasi sekiranya mahu Sabah dan Malaysia lebih ke hadapan dalam serba-serbi berbanding hari ini, ujar Jannie mengakhiri perbualan. — Roketkini.com