Berita, Rencana

PAC panggil Zahid Hamidi berhubung isu kapal LCS

Oleh Wong Kah Woh

(Pengerusi PAC)

PAC Parlimen memandang serius isu kegagalan pembekalan enam (6) kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh  Kementerian Pertahanan (MINDEF) membabitkan nilai perolehan  sebanyak RM9 bilion, yang merupakan perolehan yang terbesar dalam  sejarah MINDEF. 

Pelantikan kontraktor utama iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn  Bhd dilakukan secara rundingan terus. Sehingga Oktober 2020, sejumlah  RM6.083 bilion telah dibayar dan tidak ada sebuah pun kapal LCS yang  telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua (2) kapal LCS  telah siap dibina setakat ini. 

Isu ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019  Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian / Jabatan Persekutuan) dan  juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus,  Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri  yang diterbitkan pada tahun 2019. 

Kegagalan penyiapan kapal LCS ini adalah amat serius kerana ia bukan  sahaja membabitkan kelemahan / kegagalan dari segi tadbir urus,  perolehan dan kewangan tetapi juga memberikan impak terhadap  keselamatan dan pertahanan negara.  

Justeru itu, PAC Parlimen telah memutuskan untuk memanggil prosiding  PAC untuk isu ini. Setakat ini, empat (4) mesyuarat dan prosiding dengan  saksi-saksi yang telah dipanggil adalah seperti berikut:- 

(i) 5 November 2020: Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; 

(ii) 18 November 2020: Ketua Setiausaha Pertahanan Malaysia  (MINDEF), Dato’ Sri Muez Abdul Aziz; 

(iii) 1/12/2020: Pengerusi JKSTUPKK, Tan Sri Ambrin Buang; 

(iv) 16/12/2020:  

(a) Ketua Setiausaha Pertahanan Malaysia (MINDEF), Dato’ Sri  Muez bin Abdul Aziz;  

(b) Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS (PPLCS), Laksamana  Pertama Shaiful Bahri Baharuddin (28/08/2017 – sekarang); 

(c) Mantan Ketua Pengarah PPLCS, Laksamana Pertama Azuwan  Harun (09/01/2017 – 27/08/2017); 

(d) Mantan Ketua Pengarah PPLCS Laksamana Muda Datuk Ir Mohd  Shaiful Adli Chung Abdullah (02/02/2016 – 08/01/2017); dan 

(e) Mantan Ketua Pengarah PPLCS Kepten (B) Azhar Jumat  (26/12/2012 – 14/02/2016).

PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah  diputuskan oleh Kerajaan secepat mungkin. Berikutan itu, adalah penting  bagi PAC Parlimen untuk menyegerakan prosiding isu ini dan  membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat. 

PAC Parlimen dengan itu akan menyambung prosiding PAC berhubung isu  LCS pada awal bulan Januari dengan memanggil saksi-saksi yang  selanjutnya, termasuk mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad  Zahid Hamidi, mantan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan  Sri Abdul Aziz Jaafar dan BNS Sdn Bhd, selaku kontraktor utama projek  kapal LCS. PAC Parlimen juga akan menjalankan lawatan tapak  pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021. 

PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan  Laporan PAC berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS  ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada Mac 2021. –Roketkini.com