Berita

DAP terus bekerja demi rakyat

Oleh Ghafar NS

Tidak berada di Putrajaya, bukanlah penghalang buat ahli-ahli Parlimen DAP terus menjalankan tugas serta amanah demi rakyat dan negara.

Terbaru, minggu lepas pelbagai bentuk penaiktarafan, bantuan, sumbangan disalurkan penduduk di kawasan masing-masing.

Pada 19 Disember 2020, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengambil inisiatif menjual sesangkak telur dengan harga RM5 sahaja kepada penduduk di Jinjang Utara berbanding harga asal di pasaran yang jauh lebih mahal.

Inisiatif ini disambut baik oleh penduduk setempat terutamanya mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli barangan keperluan asas. Dalam pada itu, Lip Eng dan pasukan sukarelawan DAP Kepong turut mengedarkan pelitup muka percuma.

Kerja-kerja pemasangan pagar, pembinaan tangga dan penyelenggaraan saliran di Lot 2842 Kampung Sungai Penchala, Parlimen Segambut juga telahpun selesai pada minggu lepas.

“Sehari selepas saya menghantar emel kepada pejabat Parlimen Segambut, wakil dari Parlimen Segambut datang melihat keadaan di kawasan ini. Seminggu kemudian, YB Hannah Yeoh, DBKL dan kontraktor datang.” En Rashdan, penduduk di Kampung Sungai Penchala gembira dengan perubahan yang dapat memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

Di Sabah pada 6 Disember 2020, Kluster Berhala dilaporkan muncul di Pulau Berhala, Sandakan. Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan di bawah Vivian Wong Shir Yee, Ahli Parlimen Sandakan telah melancarkan satu kempen pada 16 Disember 2020, iaitu “Food Relief for Families in Berhala Island” untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai agar bantuan keperluan asas dapat disalurkan pada penduduk Pulau Berhala yang terjejas teruk.

Dua hari berikutnya, pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan pantas menyalurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas yang teramat diperlukan oleh keluarga-keluarga di sana kerana keadaan semakin sulit, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak dapat keluar bekerja.

Sumbangan kewangan daripada orang ramai yang prihatin akan nasib penduduk Pulau Berhala amat dihargai kerana dari sumbangan itulah yang memungkinkan kehidupan mereka dapat diteruskan.

Hujung minggu lepas juga, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh bersama dengan Adun Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari telah melawat dan menyampaikan sumbangan di Masjid as-Sobirin, Lahat & Surau al-Qomar, Taman Pengkalan Utama.

Kemenangan mereka pada Mei 2018 lalu adalah dari tangan-tangan rakyat yang mengundi. Khidmat sebagai wakil rakyat terus dilaksanakan bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa dan bermakna kepada penduduk di kawasan masing-masing. — Roketkini.com