Berita

P. Pinang yakin terus jadi destinasi pilihan pelabur

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin bahawa negeri itu akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan para pelabur berkualiti serta bernilai tinggi.

Ini dengan rekod prestasi Pulau Pinang yang lebih kukuh dari segi dasar dan fasiliti pelaburan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebagai rekod, dalam tempoh antara Januari hingga September 2020, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM10.6 bilion.

“…dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) RM8.8 bilion atau 83 peratus, meletakkan Pulau Pinang sebagai penyumbang FDI kedua tertinggi dalam negara, manakala RM1.8 bilion atau 17 peratus adalah melalui pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya dalam Perutusan Hari Krismas dan Tahun Baru 2021 beliau hari ini.

Jelas Kon Yeow, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berjaya mencatatkan 108 projek melalui sektor pembuatan dari Januari hingga September 2020 yang dianggar akan mewujudkan 9,137 peluang pekerjaan baru.

Hal ini tambahnya, sedikit sebanyak memberi khabar gembira terutama kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan memberi fokus terhadap agenda untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri itu.

Langkah itu katanya, adalah selari dengan hasrat Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Berpaksikan fokus berkaitan, kerajaan negeri memperkenalkan bantuan pembiayaan pembelajaran melalui pemberian biasiswa, Penang Future Foundation (PFF).

“Sejak 2015, PFF telah membiayai 585 pelajar berkelayakan untuk mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, perakaunan dan kewangan membabitkan jumlah peruntukan RM32.8 juta.

“Pada masa sama, seramai 11,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini turut menerima manfaat daripada program Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang sejak 2008 melibatkan perbelanjaan sebanyak RM23.39 juta,” katanya.

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, beliau mengajak semua pihak bersama mengekalkan keamanan dan saling meraikan segala persamaan serta perbezaan yang wujud dan berusaha memperteguh nilai-nilai sejagat antara satu sama lain. — Roketkini.com