Berita, Rencana

Politik Malaysia: Perlarasan semula atau penstrukturan semula?

Oleh Nor Miswary Ramli

(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)

Perlarasan semula atau apa yang disebut oleh ramai peminat politik masa kini – reset – bermakna kita kembali kepada kedudukan asal. Nombor sifar. Kosong. Posisi yang asal dengan orang yang sama dan di kedudukan yang sama. Tidak ada yang berbeza. Ia cuma bermula semula dengan perkiraan baharu. Sekali lagi, tiada apa yang berbeza.

Jika larian pecut 100-meter telah dimulakan dan pelari telah berlari separuh jalan, kita reset semula – iaitu membuat pelarasan semula – makanya, semua perlu kembali ke garisan permulaan semula. Bermula semula dengan masing-masing berada di kedudukan yang sama dan di lorong masing-masing. Tidak ada yang berbeza seperti sebelumnya. Pelarinya juga mereka yang sama seperti sebelumnya. Reset ini cuma memberi peluang mana-mana pelari yang terlompat awal atau yang bermula perlahan tadi akan dapat mencuri semula masa melakukan permulaan yang berbeza kali ini.

Maka, apa kata kalau saya anjurkan kita restructure semula. Membuat penstrukturan semula.

Biarpun penstrukturan semula ini melibatkan mereka yang sama, orang yang sama – muda tua, baharu dan lama, berpengalaman atau kurang berpengalaman – namun apa kata kita menyusun semua mereka ini semula. Membuat penstrukturan semula kesemua posisi dan peranan mereka. Restructure ini mungkin akan meletakkan mereka pada kedudukan yang berbeza kali ini. Cuma, itu sahaja.

Semasa saya bermain liga bolasepak kampung waktu kecil-kecil dulu, dan diimport menyertai sebuah pasukan daripada kampung yang lain, ketika itu saya hanya seorang pemain sayap kanan. Kerjanya hanya menghantar bola ke tengah padang untuk direbut dan disambar oleh penyerang bagi menjaringkan gol. Namun, selepas menyertai pasukan yang baru, dilantik pula menjadi kapten pasukan, saya dapati pemain di bahagian sayap kanan bermain jauh lebih baik daripada saya.

Lalu, saya membuat keputusan untuk merombak pasukan. Saya melakukan penstrukturan semula pemain. Restructure, bukannya reset. Ada yang biasa menjadi pemain di bahagian pertahanan sebelum ini, saya letakkan di bahagian serangan malah yang biasa bermain di bahagain serangan saya jadikan mereka pemain tengah dan saya pula bertukar menjadi pemain pertahanan sehingga ‘bersara’. Penstrukturan semula yang saya buat bukan berdasarkan suka-suka. Melihatkan kepada bakat mereka, ketenangan mengawal emosi serta kemahiran mengawal bola di atas padang menjadikan penstrukturan semula pemain dan pasukan tidak boleh dielakkan lagi.

Namun, penstrukturan semula ini hanyalah melibatkan pemain-pemain yang sama. Pemain-pemain hanya diubah posisi mereka di atas padang sahaja. Restructure yang dilakukan telah memberi mereka peluang meneroka kemampuan bermain di posisi yang berbeza. Keputusan tersebut akhirnya memberi nafas baharu dan menyegarkan permainan mereka di atas padang!

Kesan daripada penstrukturan semula ini menjadikan pasukan kami mempunyai lebih banyak pilihan pemain untuk diletakkan di beberapa posisi yang berbeza. Malah pemain yang selama ini tidak dapat bermain dan hanya terperap dibangku simpanan kini mempunyai lebih banyak peluang menunjukkan bakat sebenar mereka. Dan dengan restructure ini juga kami berjaya mendapatkan lebih ramai pemain baharu yang diimport dari kampung yang lain. Ya, kami mula menang lebih banyak perlawanan sejak itu. — Roketkini.com