Berita, Rencana

Isu feri P. Pinang: Ka Siong harus berhenti berdolak-dalih

Oleh Senator Lim Hui Ying

(Ahli Dewan Negara)

Wee Ka Siong harus berhenti berdolak-dalih, sebaliknya akur dengan hasrat rakyat Pulau Pinang untuk mengekalkan perkhidmatan feri yang telah menjadi ikon negeri ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong melalui hantaran Facebook milik beliau semalam, mendakwa saya bersetuju dengan rancangannya untuk menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan berkata kononnya saya menyokong cadangan menggunakan katamaran untuk menggantikan feri yang sedia ada.

Pendirian saya sepertimana dalam ucapan di Dewan Negara sudah jelas: Kekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik.

Kita tidak bantah pengenalan perkhidmatan katamaran, namun seperti yang dinyatakan dalam perbahasan saya, Kerajaan Persekutuan harus meneruskan perkhidmatan feri ikonik, walaupun dengan kekerapan yang lebih rendah, sebagai perkhidmatan tambahan kepada perkhidmatan katamaran yang baru.

Saya turut menyeru Kerajaan Persekutuan mengekalkan dua buah feri ikonik, berbanding tiga yang sedang beroperasi sekarang, agar sistem pengangkutan air Pulau Pinang yang unik dan bersejarah ini dapat diteruskan walaupun perkhidmatan katamaran mula beroperasi kelak.

Saya juga telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik selepas 31 Disember 2020, berbeza dengan rancangan mereka untuk menghentikan semua perkhidmatan feri walaupun katamaran belum memulakan operasi.

Ini bukan kali pertama MCA cuba memecahbelahkan kepimpinan DAP dengan penipuan kononnya hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menentang pemberhentian perkhidmatan feri ikonik ini. MCA sebelum ini berbohong bahawa Anthony Loke yang membuat keputusan untuk menghentikan perkhidmatan feri semasa Loke menjadi Menteri Pengangkutan. Pembohongan ini telah disangkal sepenuhnya oleh Loke semalam.

Wee dan MCA harus berhenti berdolak-dalih, sehingga terdesak memutarbelitkan kenyataan kami sebagai hujah untuk menyokong rancangannya menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Sebaliknya Menteri Pengangkutan harus akur dengan seruan dan hasrat rakyat Pulau Pinang untuk mengekalkan perkhidmatan feri ikonik, sepertimana yang telah diputuskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang lalu, dan disahkan oleh rakan sekerja beliau, yakni Menteri Kewangan Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul telah mengesahkan di Parlimen bahawa mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, telah mengenakan syarat secara bertulis kepada Penang Port Sdn. Bhd. untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang dengan pemberian geran tunai RM30 juta oleh kerajaan persekutuan ketika itu. — Roketkini.com