Berita, Rencana

Media wajar diberi penghargaan lapor kebenaran

Oleh Nor Miswary Ramli

(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)

Pihak media wajar diberi penghargaan apabila berjaya membongkar kartel penyeludupan daging tidak halal yang dibawa masuk ke Malaysia yang kemudiannya dijual sebagai daging berstatus halal.

Apa yang lebih mengejutkan ialah beberapa siri laporan media itu juga turut mendedahkan kartel penyeludupan tersebut bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi Kerajaan sehingga ada yang mendapat habuan dalam pelbagai bentuk untuk membolehkan kartel ini terus beroperasi.

Pembongkaran yang dibuat oleh pihak media sehingga kini tidak langsung diberi penghargaan oleh pemimpin Kerajaan dan hanya tertumpu kepada isu menunding jari kepada siapa yang harus dipersalahkan.

Tanpa kita sedari, inilah peranan media yang seringkali diperlekehkan oleh pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional. Lihat sahaja bagaimana respon Menteri Kanan Kerajaan PN ke atas isu dokumentari layanan buruk terhadap migran di Malaysia yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera.

Akhirnya Menteri Sumber Manusia mengaku merasa malu apabila melihat sendiri keadaan pekerja asing selepas beliau mengadakan lawatan mengejut di kemudahan penginapan pekerja di sebuah kilang di Kajang tempohari.

Malah terdapat Timbalan Menteri Kerajaan PN yang menganggap pihak media sengaja mensensasi laporan seperti isu kes jenayah yang melibatkan agamawan semata-mata mahu melariskan berita dan menasihatkan isu seperti itu seboleh-bolehnya ditutup.

Pemimpin Kerajaan seperti beliau sepatutnya berterima kasih kepada pihak media kerana melaporkan isu yang berkepentingan awam seperti itu. Malah, beliau wajar mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa golongan agamawan juga tidak terkecuali berpotensi melakukan jenayah yang mangsanya mungkin terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Para pemimpin Kerajaan PN harus sedar bahawa pihak media mempunyai peranan tersendiri dalam memberi kesedaran dan melaporkan kebenaran untuk tujuan mendidik masyarakat supaya lebih berwaspada serta bersiap-siaga.

Pendedahan pihak media mengenai isu kartel penyeludupan daging tidak halal telah membuktikan peranan mereka begitu penting buat kita rakyat Malaysia. Menyampaikan yang benar itu pahit, namun ubat penyakit tidak pula berasa manis. Kita wajar hargai pihak media dan perlu berterima kasih kepada mereka. — Roketkini.com