Berita, Rencana

Amalan antara dua darjat JKR: Menteri perlu bertanggungjawab

Oleh Lim Guan Eng

(Ahli Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung DAP)

Keputusan 2020 prestasi kerajaan PN yang tidak dipilih adalah penguatkuasaan undang-undang antara dua darjat untuk Menteri yang berkuasa dan rakyat.  Kerajaan PN bermula sebagai kerajaan dengan mengamalkan sikap antara dua darjat dalam kes Menteri PAS, Mohd Khairuddin bin Aman Razali.

Khairuddin telah diberi layanan manja dengan denda kompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin rumah Covid-19 selama 14 hari, setelah kembali dari kunjungan peribadi di Turki. Sebaliknya, seorang wanita Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari, juga kerana melanggar peraturan kuarantin dan kesihatan Covid-19.

Sehingga kini kerajaan tidak dapat menjelaskan mengapa seorang Menteri tidak didakwa di mahkamah seperti wanita berusia 72 tahun tersebut? Penguatkuasaan undang-undang yang terpilih oleh agensi penguatkuasaan ini, telah menyebabkan Menteri lain juga tidak disiasat atau didakwa atas kesalahan rasuah dan mengesyorkan anak mereka dilantik sebagai pengarah Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan, berbanding dengan tindakan yang diambil terhadap penjawat awam biasa.

PN telah mengakhiri tahun 2020 dengan satu lagi kes antara dua darjat berikutan kemalangan kecil disebabkan jalan berlubang di Banting yang melibatkan Menteri UMNO Khairy Jamaluddin. JKR dengan segera membaiki jalan berlubang tersebut dan meminta maaf kepada Menteri. Ini tidak ada kaitan dengan Khairy dan kami berharap dia cepat sembuh daripada kecederaan ringan tersebut.

Isunya di sini adalah amalan antara dua darjat oleh JKR yang meminta maaf dan bertindak segera untuk membaiki jalan berlubang ketika seorang Menteri terlibat tetapi tidak peduli sama sekali ketika pihak yang cedera adalah rakyat biasa. Ini telah mengundang kemarahan awam terhadap JKR yang tidak berperikemanusiaan, terutama ketika mereka berjanji untuk melaksanakan dasar sifar jalan berlubang pada tahun 2016 di bawah Menteri Fadillah Yusof ketika itu.

Mengapa tidak ada sikap yang serupa ketika begitu ramai rakyat biasa telah mati atau mengalami kecederaan serius akibat kegagalan JKR untuk membaiki jalan berlubang? Sejak Fadillah kembali menjadi Menteri Kerja Raya sekali lagi, beliau jelas gagal memenuhi tugasnya dan memenuhi janji sifar jalan berlubang.

Kegagalan Fadillah untuk mengambil tanggungjawab terhadap amalan antara dua darjat oleh JKR sangat dikesali dan hanya menunjukkan bahawa para Menteri PN lebih berminat untuk berpolitik untuk mempertahankan kedudukan mereka dan sama sekali tidak mampu memberikan khidmat yang baik kepada rakyat. Rakyat telah hilang harapan dengan kerajaan PN yang mengamalkan sikap antara dua darjat dan rela mengorbankan kepentingan rakyat demi survival politik, di mana PN mempunyai majoriti tipis tiga kerusi parlimen. — Roketkini.com