Berita, Rencana

2021: Tahun realisasikan Harapan

Tahun 2020 yang bakal melabuhkan tirainya hari ini membawa 1,001 iktibar dan pengalaman kepada semua rakyat Malaysia.

Dari gelombang demi gelombang jangkitan pandemik Covid-19, kepada peristiwa yang disebut-sebut sebagai ‘Langkah Sheraton’, 2020 membawa kesan yang besar kepada negara kita terutama dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.

Memasuki 2021, harapan rakyat pastinya tinggi menggunung. Sehubungan itu, Roketkini bertanyakan kepada beberapa wakil rakyat dan pemimpin DAP apakah harapan dan aspirasi mereka bagi 2021. Mari kita baca!

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Bagi Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, harapannya bagi 2021 adalah untuk melihat semua rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk terus menyerlahkan nilai-nilai toleransi, keharmonian dan kesederhanaan.

“Malaysia sebagai sebuah negara untuk semua kaum tanpa mengira di mana mereka berada sama ada di Sabah, Sarawak atau di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, 2021 juga diharap dapat menyerlahkan kesepaduan Pakatan Harapan (PH) bersama sekutu untuk bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ujarnya, naratif baharu yang perlu diketengahkan adalah persefahaman baharu tanpa meminggirkan semua gabungan terlibat.

Zairil Khir Johari

Sementara itu, Adun Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari berkata, 2020 merupakan tahun yang membawa banyak cabaran kepada rakyat Malaysia.

Ini katanya, dengan pengkhianatan politik yang menjatuhkan kerajaan sah serta dengan ketidaktentuan ekonomi dan pandemik yang melanda.

“Saya harap pada tahun 2021 kita semua boleh memberi tumpuan kepada pemulihan sosioekonomi agar orang ramai dapat bangun kembali daripada harungan pada tahun 2021.

Tambahnya, semua pihak khususnya ahli politik harus mengutamakan rakyat dan tidak bertindak mementingkan diri sendiri.

Dr. Abdul Aziz bari

Sementara itu, Adun Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau berharap semua pihak dapat bersabar dan kreatif dalam menghadapi musibah Covid-19.

Beliau menambah, setiap musibah ada hikmahnya.

“Jangan putus asa atau panik. Kerja mesti diteruskan, tetapi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu perlu dibudayakan.

“Selamat tahun Baru, semoga kita terus tabah dan tidak patah semangat,” katanya.

Edry Faizal Eddy Yusof

Dalam pada itu, Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berharap 2021 akan membuka tirai baru dan peluang baru buat semua.

Pandemik yang melanda 2020 tambah beliau, telah mengajar satu perkara penting — adaptasi demi kelangsungan hidup.

“Kesenjangan ekonomi yang sering jadi perhatian para pembuat dasar tidak boleh dipisahkan dengan kesenjangan digital.

“Keadaan tidak mungkin akan kembali seperti dahulu kala. Dunia baru inilah yang perlu kita corakkan kembali,” katanya.

Jamaliah Jamaluddin

Sementara itu, Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menyeru semua agar tidak mempersiakan sejarah dan pengalaman pada tahun 2020, agar ia dijadikan pengetahuan serta bekalan untuk menyambut 2021.

Beliau berkata, 2021 perlu dijadikan sebagai usaha kolektif untuk semua bersama bangkit membina negara dan terus mempertahan prinsip demokrasi serta perlembagaan negara ini.

“Selagi hayat dikandung badan, perjuangan diteruskan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai dugaan serta cabaran yang ditempuhi pada tahun 2020 dan ini membawa kepada pengalaman dan peristiwa yang sukar dilupai.

Terutamanya di Malaysia, katanya, apabila kita diuji dengan mengharungi pelbagai kepahitan, bermula dari pandemik sebagai pemulaan dan diikuti peristiwa pengkhianatan di Kerajaan Persekutuan sehingga merebak di kerajaan negeri-negeri.

“Akibat kerakusan dan pengkhianatan ini telah membawa negara ini kepada era ketidakstabilan politik yang berlarutan dan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik.

“Sesungguhnya krisis pendamik pada 2020 memaksa kami untuk menjadi lebih adaptif dalam pelbagai sudut. Namun, saya percaya kepada tenaga positif,” ujarnya.

Muhammad Shakir Ameer

Dalam pada itu, Naib Ketua DAPSY, Muhammad Shakir Ameer berharap, vaksin Covid-19 akan sampai secepat mungkin.

“Saya juga berharap agar apa yang kita lalui sepanjang isu pendemik ini kita akan ambil sebagai iktibar untuk menjadi insan lebih baik sekali gus menjadikan negara kita lebih mantap dan sederhana,” katanya. — Roketkini.com