Berita, Rencana

Menangani krisis lima berganda Malaysia

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

2020 adalah tahun pandemik global Covid-19, yang mencetuskan krisis lima berganda iaitu kesihatan, politik, ekonomi, pendidikan dan keyakinan di negara ini.  Sayangnya krisis lima berganda ini belum ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih dan seharusnya menjadi resolusi Tahun Baru bagi mana-mana Kerajaan.

Penutupan seluruh negara yang dilaksanakan setelah jangkitan Covid-19 meningkat beratus-ratus setiap hari awal tahun ini, sepatutnya dapat menghentikan Covid-19 di Malaysia. Malangnya, Kerajaan gagal mengurus keadaan dengan 110, 485 jangkitan menjelang 30 Disember, iaitu lebih banyak daripada China.

Jangkitan harian Covid-19 Malaysia kini merupakan yang kedua tertinggi di negara-negara ASEAN selepas Indonesia, dengan kita mencatatkan hampir dua ribu kes setiap hari. Terdapat kebimbangan nyata bahawa kemudahan kesihatan kita mungkin tidak dapat menangani jumlah jangkitan yang semakin meningkat.

Lebih buruk lagi, Kerajaan PN enggan membelanjakan RM2.1 bilion untuk melakukan pembelian awal vaksin Covid-19, yang mengakibatkan kita hanya akan menerimanya  dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lagi, berbanding dengan negara jiran Singapura yang menerima penghantaran sekarang. Keengganan kerana kedekut dan lokek untuk menyediakan RM2.1 bilion adalah kesilapan yang lebih besar dan sangat tidak cekap berbanding penurunan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch baru-baru ini.

Krisis pendidikan mempunyai kesan jangka panjang yang buruk bagi generasi masa depan kita. Dengan pelajar yang hanya menghadiri kelas selama 4 bulan tahun ini, ada keperluan mendesak untuk membelanjakan tambahan RM4 bilion untuk membeli komputer riba untuk setiap orang dan meningkatkan rangkaian internet untuk membolehkan pembelajaran atas talian.  Kita tidak mampu untuk membiarkan anak muda kita terus tercicir.

Kegagalan Kerajaan PN untuk menangani ketidakstabilan politik yang disebabkan oleh majoriti 2 kerusi parlimen, kesihatan, ekonomi dan pendidikan menyebabkan krisis keyakinan. Vietnam telah pun mengatasi Malaysia daripada segi ekonomi dengan KDNK yang lebih besar untuk pertama kalinya.

Untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka menangani krisis lima berganda, anggota Kerajaan yang tidak dipilih ini terus membuat kenyataan politik atau mengambil tindakan yang memecahbelahkan rakyat atau menyakiti sentimen banyak rakyat Malaysia, terutama golongan wanita dan minoriti. Rakyat Malaysia mesti bersatu menentang puak assobiyah dan pelampau agama ini. Kita bersatu sebagai satu bangsa, tanah ini milik semua warganegara. 

Rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa dalam usaha kita untuk membolehkan semua orang menikmati peluang yang sama dan anak-anak kita dapat menyerlahkan sepenuhnya potensi mereka. Kita harus memberi harapan kepada rakyat Malaysia, terutama golongan wanita dan minoriti, bahawa mereka akan diiktiraf atas pencapaian mereka di sini dan tidak hanya diraikan sebagai rakyat Malaysia apabila mereka berjaya di negara asing. — Roketkini.com