Berita, Rencana

Segera jumpa PPBM, ECCE selesai isu ‘dual licensing’

Oleh B. Suffian

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau timbalannya, diminta segera bertemu dengan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE).

Ahli Parlimen Segambut. Hannah Yeoh berkata, pertemuan itu adalah bagi membincangkan isu-isu yang memberi kesan besar terhadap institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, ibu-bapa muda dan juga anak-anak mereka.

Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memberitahu, beliau percaya pertemuan dengan PPBM dan ECCE boleh diadakan tanpa sebarang alasan.

“Pertemuan tersebut bukan sahaja boleh membincangkan isu pengusaha TASKA dan pengasuh yang hilang punca pendapatan, malah yang lebih penting, ia dapat memperhalusi isu keselamatan kanak-kanak dan mencari jalan keluar kepada ibu-bapa muda yang terpaksa bergilir mengambil cuti atau berhenti kerja untuk menjaga anak-anak mereka akibat penutupan TASKA.

“Mereka inilah antara kumpulan terbesar yang terjejas teruk kesan daripada pandemik Covid-19 dan perlaksanaan PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, PPBM dan ECCE sepatutnya diangkat menjadi mata serta telinga KPWKM bagi mendapatkan maklumat terkini dan data yang tepat sebelum kementerian membuat perancangan dan melaksanakan sebarang polisi yang akan memberi kesan kepada pengusaha TASKA, pengasuh serta para ibu-bapa muda dan anak-anak mereka.

Menurut Hannah, Menteri KPWKM diingatkan supaya mengambil tindakan berterusan untuk menyelesaikan isu seperti permohonan ‘dual licensing’ bagi pengusaha yang memiliki kedua-dua TASKA dan TADIKA, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP) serta pemberian geran ‘one off’ bernilai RM5,000 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Saya percaya semua isu tersebut dapat diselesaikan jika menteri mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh yang benar-benar memahami isu ini,” katanya.

Ketika di Putrajaya, tambahnya, beliau sentiasa memperuntukkan masa bertemu dan mendapatkan pandangan daripada kedua-dua badan terbesar tersebut kerana mereka begitu berpengalaman dan lebih memahami isu-isu ini.

“Menteri Rina Mohd. Harun dan Menteri Dr. Mohd Radzi Md. Jidin dari Parti Bersatu perlu lebih mendengar, lebih cekap dan lebih proaktif jika mahu memegang portfolio penting seperti KPWKM dan Kementerian Pendidikan – ini kerana masa depan anak-anak kita yang sedang dipertaruhkan,” katanya.

Jelas beliau, isu mengenai TASKA dan TADIKA yang memberi kesan besar terutama sekali kepada ibu-bapa serta pengusaha dan pengasuh telah banyak dibangkitkan di dalam persidangan Parlimen yang lepas, namun tidak dijawab oleh Menteri KPWKM dan Menteri Pendidikan mahupun timbalan mereka.

“Malah sehingga memasuki Januari 2021, semua Jawapan Bertulis yang dijanjikan mereka juga langsung tidak kelihatan,” katanya. — Roketkini.com