Berita, Rencana

Kerajaan Muhyiddin gagal urus negara

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Ketidakstabilan Politik Dan Tadbir Urus Yang Lemah Ditambah Buruk Dengan Kekerapan Pertukaran Dasar Atau Kemungkiran Janji Dan Ketidakmampuan Mentadbir Oleh Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penarafan kredit negara Malaysia telah disemak turun oleh Fitch Ratings, daripada A- ke BBB + iaitu tahap yang sama dengan Indonesia, kerana ketidakstabilan politik yang kronik dan tadbir urus yang lemah.  Jelas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti parlimennya berikutan ancaman daripada UMNO dan penarikan sokongan secara terbuka daripada beberapa Ahli Parlimen UMNO.

Ketidakstabilan politik dan tadbir urus yang lemah telah ditambah buruk dengan kekerapan pertukaran dasar atau kemungkiran janji dan ketidakmampuan mentadbir oleh kerajaan Muhyiddin.  Beberapa janji yang dimungkiri adalah seperti pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, menaikkan pembayaran bantuan bulan kebajikan masyarakat termasuk kepada penganggur kepada RM1,000, meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR) dan meneruskan  perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik.

Tadbir urus yang lemah telah menimbulkan keraguan besar mengenai komitmen Muhyiddin terhadap akauntabiliti dan ketelusan. Ini dibuktikan oleh dua perubahan dasar iaitu memilih tender secara rundingan terus berbanding tender secara terbuka, dan pelantikan ahli politik yang tidak berkelayakan untuk mengetuai atau menjadi pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan aset awam bernilai puluhan biliom ringgit.

Kurangnya komitmen Muhyiddin terhadap tender secara terbuka  membuka mendapat perhatian antarabangsa berikutan pendedahan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung. Ong mengatakan bahawa sebab utama mengapa kedua-dua negara tidak dapat mencapai persetujuan  mengenai projek HSR KL-Singapura adalah kerana Malaysia ingin menyingkirkan syarikat aset tender bersama (AssetsCo).  Ong menambah bahawa melalui tender antarabangsa yang terbuka dan telus, AssetCo akan memastikan kebertanggungjawaban kepada kedua-dua negara.

Begitu juga masalah melantik ahli politik yang tidak berkelayakan untuk menggantikan profesional dalam GLC yang dibuktikan di Prasarana, di mana SPRM sedang menyiasat penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan oleh Pengerusi.  Sama ada siasatan SPRM dimulakan kerana alasan politik atau motivasi politik yang serupa akan menyebabkan SPRM menghentikan siasatan mereka, akan ditunggu-tunggu oleh orang ramai sebagai ujian kebebasan dan profesionalisme SPRM.

Pengurusan kerajaan terhadap pandemik global COVID-19, yang telah menyaksikan peningkatan jangkitan yang membimbangkan, memperlihatkan ketidakmampuan para Menteri dalam menyokong sepenuhnya wira barisan hadapan yang berjuang untuk membendung krisis kesihatan awam dengan risiko nyawa mereka. Bukan hanya Menteri Kesihatan tetapi seluruh Kabinet harus bertanggungjawab, terutama atas kelewatan untuk mendapatkan vaksin.

Pada ketika Singapura memperoleh penghantaran dan memulakan vaksinasi secara besaran, Malaysia masih perlu menunggu 2 bulan lagi. Alasan bahawa Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan seperti Singapura adalah tidak masuk akal dan tidak dapat diterima apabila kos yang terlibat adalah RM2.1 bilion.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, izinkan saya menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia pasti mampu menyediakan RM 2.1 bilion untuk mendapatkan penghantaran vaksin lebih awal. Keengganan kerana kedekut dan lokek untuk menyediakan RM2.1 bilion adalah kegagalan yang lebih besar dan lebih tidak kompeten daripada penurunan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch baru-baru ini. — Roketkini.com