Berita, Rencana

Kerajaan PN digesa bertemu semua parti politik bincang krisis Covid-19

Kenyataan Akhbar Oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 9.1.2021.

PN Sebuah Kerajaan Yang Sentiasa Dalam Krisis Bertanggungjawab Memburukkan Lagi Krisis Sebenar Kesihatan Awam Jangkitan COVID-19 Yang Meningkat Dan Tidak Mampu Menangani Jangkaan Lonjakan 8,000 Kes Setiap Hari.

Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang sentiasa dalam keadaan krisis bertanggungjawab memburukkan lagi krisis sebenar kesihatan awam jangkitan COVID-19 yang meningkat dan tidak mampu menangani jangkaan kenaikan 8,000 kes setiap hari. Setelah kehilangan majoriti parlimennya, para pemimpin PN lebih mementingkan fokus pada survival politik mereka sendiri berbanding survival negara daripada COVID-19.

Setiap hari kita melihat ahli parti komponen PN daripada UMNO, Bersatu dan PAS, mengadakan mesyuarat tergempar bukan untuk membincangkan COVID-19, tetapi bagaimana mereka dapat memperbaiki hubungan antara “sekutu” mereka dalam PN. Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi para pemimpin UMNO untuk menuntut pilihan raya awal di tengah-tengah krisis terbesar dalam sejarah negara ini.

Ucapan menghina Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan terhadap pekerja biasa yang menentang tuntutan UMNO untuk pilihan raya awal kerana COVID-19 menunjukkan betapa jauh terputusnya pemimpin PN daripada penderitaan rakyat biasa. Ahmad dengan sombong menyatakan bahawa hanya orang berpendidikan PH.D sahaja yang akan memahami keperluan pilihan raya awal.

Kegagalan kerajaan PN terbukti dalam kegagalan teruk mereka untuk mendapatkan penghantaran vaksin COVID-19 lebih awal.  Semalam kita menyaksikan Perdana Menteri Singapura menerima suntikan vaksinnya.  Malaysia harus menunggu dua bulan lagi kerana ketidakcekapan kerajaan PN yang lebih fokus pada survival politik daripada kesihatan rakyat. Alasan untuk kelewatan bahawa Malaysia tidak dapat menyediakan sejumlah wang sebanyak RM2.1 bilion dalam krisis kecemasan, menunjukkan tahap kejahilan dan ketidakcekapan melampau Menteri dan Kabinet kita. Berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang akan mati kerana kelewatan penghantaran vaksin?

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin juga telah mengkritik Ahmad Maslan kerana meminta campur tangan eksekutif dalam proses kehakiman ketika Ahmad menyatakan ketidakpuasan UMNO terhadap PN atas beberapa kes rasuah yang melibatkan pemimpin UMNO. Ini mengingatkan kita kepada amaran yang diberikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Ekuiti Credit Credit Suisse Malaysia Stephen Hagger bulan lalu tentang akibat mengabaikan penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Ratings.

Stephen Hagger merujuk kepada kes-kes mahkamah yang melibatkan bekas Menteri Tengku Adnan. Sebelum itu tuduhan mahkamah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz juga telah digugurkan. Tidak pernah peringatan seperti itu yang dikeluarkan oleh Stephen Hagger atau pakar kewangan lain semasa pemerintahan Pakatan Harapan dan Malaysia tidak mengalami penurunan penarafan kredit ketika itu.

Rakyat Malaysia sudah muak dan letih dengan politik yang tidak henti-henti oleh PN dan mahu krisis politik yang berterusan dalam kerajaan berakhir. Adakah Tan Sri Muhyiddin akan terus berdiam diri dan tidak akan mengambil tanggungjawab atas kegagalan Kabinetnya, sedangkan dia pernah mengambil kredit kerana menguruskan krisis COVID-19 dengan baik?

Sudah tiba masanya kerajaan PN mengadakan pertemuan dengan semua parti politik untuk membincangkan krisis kesihatan awam COVID-19. Mesyuarat Parlimen tergempar adalah jalan terbaik untuk mengumpulkan sokongan rakyat dan menjalinkan perpaduan nasional demi membolehkan rakyat Malaysia bersatu mengatasi COVID-19 bersama. — Roketkini.com