Berita

Isu kartel daging hakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan

Oleh Zamzani Husin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera mendedahkan dalang di sebalik kegiatan kartel daging yang dikatakan bermaharajela tanpa sekatan selama berpuluh tahun dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Menurut Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut, Nor Miswary Ramli isu tersebut tidak harus dibiarkan berlarutan kerana dibimbangi akan menghakis keyakinan rakyat khususnya umat Islam terhadap pihak berwajib.

“Bagi saya isu kartel daging ini antara lain telah menyebabkan berlakunya krisis keyakinan pengguna terhadap kaedah pemantauan dan pengoperasian agensi kerajaan,” katanya kepada Roketkini, hari ini.

“Mereka ini dipertanggungjawabkan untuk memberi kelulusan kepada pihak yang membekalkan sumber makanan halal, bersih dan selamat kepada orang ramai, khususnya kepada umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya.”

Beliau mengulas pendedahan media berhubung dakwaan kakitangan dan pegawai kerajaan mendapat habuan wang dan seks daripada kartel import daging yang melakukan pemalsuan logo halal bagi memastikan mereka bebas menjalankan aktiviti haram.

Mengulas lanjut, Miswary yang juga Setiausaha (penaja) DAP Cawangan Shah Alam berkata, isu kartel daging telah membuka mata rakyat Malaysia akan kesan buruk amalan rasuah.

“Mungkin selama ini amalan rasuah hanya dikaitkan dengan salah guna kuasa dalam pentadbiran yang memberi kesan kepada soal kewangan dan ekonomi negara yang kadang-kadang tidak begitu dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Namun dengan terbongkarnya isu kartel daging ini, kita sepatutnya sedar akan bahaya dan kesan langsung daripada amalan rasuah ini jika tidak dibendung dan ditangani dengan bersungguh-sungguh dari awal.

“Ia akan memberi kesan yang jauh lebih buruk kepada masyarakat dari sudut isu sahsiah dan kerohanian umat Islam khususnya, malah terhadap isu keselamatan makanan serta kesannya terhadap kesihatan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya. — Roketkini.com