Berita

Parlimen, DUN perlu dibenarkan berfungsi, bersidang walaupun darurat

Oleh Zamzani Husin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa membenarkan persidangan Parlimen dan Dewan Negeri (DUN) berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam tempoh darurat.

Adun Banting, Lau Weng San berkata, ini kerana wakil rakyat perlu memperhalusi dan menyemak perjalanan kerajaan dalam banyak perkara yang melibatkan kebajikan rakyat dan perjuangan melawan Covid-19.

“Dalam keadaan kedua-dua eksekutif dan kehakiman boleh berfungsi dan berjalan mengikut SOP di bawah norma baharu, mengapakah ada pengecualian terhadap fungsi dan peranan badan perundangan?

“Kita jangan khilaf bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tidak secara tersurat menegah Majlis Parlimen daripada bersidang semasa darurat, maka Parlimen masih ada peranan dan fungsinya, begitu juga dengan Dewan Negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun bahawa wakil rakyat masing boleh bertugas seperti biasa walaupun Parlimen dan DUN digantung dalam tempoh darurat.

Tegas Weng San, tugas dan tanggungjawab ahli Parlimen jauh lebih besar daripada setakat memberi peruntukan dan bantuan kepada rakyat semasa pandemik Covid-19.

“Tugas dan tanggungjawab paling utama badan perundangan adalah untuk menyemak dan mengimbangi peranan dan fungsi eksekutif dan kehakiman,” katanya.

Tambahnya lagi, meskipun wakil rakyat boleh mengambil bahagian dalam mesyuarat jawatankuasa pilihan, hasil penemuan dan perbincangan tersebut perlu dibukukan dan dibentangkan untuk perbahasan serta kelulusan sidang.

Beliau turut menyenaraikan isu dan persoalan yang perlu diberi perhatian seperti berikut:

  1. Adakah dan bagaimanakah Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan yang mencukupi kepada sektor kesihatan, hospital dan klinik kerajaan?
  2. Apakah perkembangan terkini tentang penghasilan vaksin Covid-19 dan perbelanjaan yang terlibat?
  3. Bagaimanakah bantuan prihatin kerajaan boleh diperluaskan dalam masa terdekat untuk membantu rakyat yang memerlukan?
  4. Apakah langkah yang akan diambil kerajaan untuk memastikan pembelajaran murid tidak terjejas semasa tempoh darurat dan PKP?
  5. Adakah kerajaan boleh membantu mempertingkatkan perkhidmatan Internet jalur lebar di kawasan desa supaya murid-murid di kawasan desa tidak tercicir?

“Semua soalan yang di atas mustahil dibahas dengan terperinci kalau sekadar diperbincangan Jawatankuasa Pilihan kerana ianya adalah lebih fokus kepada isu tertentu sahaja yang melibatkan sekumpulan kecil ahli Parlimen yang menjadi anggota kepadanya.

“Sekiranya persidangan Parlimen dan Dewan Negeri boleh berjalan dengan mengikut SOP yang ditetapkan di bawah norma baharu, di mana keperluan dan rasionalnya untuk mengecualikan Dewan daripada bersidang?” katanya. — Roketkini.com