Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk menang lawan Covid-19

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen dan DUN ketika negara sedang berusaha memerangi Covid-19 melalui pengumuman darurat.

Veteran DAP itu berkata, perang melawan pandemik Covid-19 menuntut strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

“Kerana inilah Muhyiddin tidak sepatutnya menambahkan malu kepada negara dengan menggantung fungsi legislatif dan semak imbang Parlimen dan DUN, terutamanya apabila perang melawan wabak Covid-19 tidak boleh dimenangi melainkan jika terdapatnya satu pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang turut berpendapat, ahli-ahli Parlimen dari semua parti politik mestilah bekerjasama dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia dengan meneruskan sesi persidangan Parlimen dan bukannya menangguhkannya.

“Perlu menjadi keutamaan kepada semua parti politik dan semua ahli Parlimen untuk “mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia” dan perkara ini sepatutnya menjadi tema penyatuan di Parlimen yang tidak sepatutnya digantung fungsinya.

“Namun, adakah Muhyiddin bersedia untuk mengumumkan yang darurat yang diisytiharkan hanya untuk melawan wabak Covid-19 ini tidak akan menggantung fungsi Parlimen dan DUN untuk menunjukkan terdapatnya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik di Malaysia?”soalnya. – Roketkini.com