Berita

‘Libatkan semua agensi berwajib siasat isu kartel daging’

Oleh Zamzani Husin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengambil sikap yang serius dan proaktif dalam menangani isu kartel daging bagi memastikan ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Setiausaha DAPSY Damansara, Farhan Haziq Mohamed berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan satu pasukan khas siasatan melibatkan agensi berwajib bagi menyiasat perkara tersebut.

“Saya berpendapat perlunya kerajaan berterus-terang dan mengambil satu sikap yang serius dengan menubuhkan satu pasukan khas siasatan yang melibatkan semua agensi, baik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Jabatan Imigresen.

“Perkara ini perlu kerana terlalu banyak pihak yang terlibat dan setiap satu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang mana perlu diperhalusi semula untuk mengelakkan sebarang ‘loopholes’ (kelemahan).

“Saya fikir JAKIM perlu menjadi pihak yang bertanggungjawab melaksanakan perkara ini kerana ia berkenaan dengan soal halal,” katanya kepada Roketkini, hari ini.

Tambah Farhan yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), isu berkenaan harus dibahaskan di Parlimen dan laporan siasatan harus didedahkan kepada umum.

“Perlu ada pendakwaan dan semakan semula syarikat-syarikat yang mempunyai pensijilan halal dari luar negara,” tegasnya yang merupakan juga merupakan seorang peguam.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor yang menjadi lokasi modus operandi kartel daging selama bertahun-tahun.

Difahamkan daging beku itu diseludup dari dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal.

Media turut melaporkan dakwaan kakitangan dan pegawai kerajaan mendapat habuan wang dan seks daripada kartel import daging yang melakukan pemalsuan logo halal bagi memastikan mereka bebas menjalankan aktiviti haram.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada 21 Disember lalu telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import. — Roketkini.com