Berita, Rencana

DAP terus istiqamah bantu rakyat meski jadi ‘punchbag’ UMNO

Oleh Zamzani Husin

Ketua DAPSY Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas tindakan parti-parti Perikatan Nasional (PN) terutama UMNO yang dilihat sering menyalahkan DAP dalam pelbagai masalah yang dihadapi mereka. 

Katanya, tindakan itu membuktikan kerajaan PN lemah kerana terpaksa menggunakan DAP sebagai ‘punching bag’ untuk menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman gabungan rapuh tersebut. 

“Tindakan parti yang menunggang nama Melayu ini sangat melucukan. Selepas langkah Shareton, parti DAP sudah bukan lagi sebahagian dari kerajaan. 

“Tetapi tiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional ini, setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan.

“Ini gambaran bahawa mereka sangat lemah. 

“Kononnya hebat, tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman,” tegas Adun Paloh itu dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Annuar Musa berkaitan tiga sebab mengapa UMNO perlu menolak DAP seperti yang dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily edisi malam semalam.

Annuar antara lain berkata, UMNO akan kalah semua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika ia bekerjasama dengan DAP.

Untuk rekod, Muhyiddin Yassin turut memberikan alasan yang serupa bagi mencetuskan Langkah Sheraton setahun yang lalu.

Mengulas lanjut, Sheikh yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor berkata, semua pemimpin dan petugas akar umbi DAP sedang sibuk berkhidmat untuk rakyat yang terpaksa berdepan dengan banjir dan tekanan ekonomi akibat penularan Covid-19.

“Fokus DAP ketika ini ialah untuk istiqamah membantu rakyat dan membantu golongan kurang bernasib baik. 

“Bukan mencari pihak ketiga untuk dipersalahkan, bagi menutup kelemahan diri sendiri,” tegasnya. — Roketkini.com