Oleh Nor Miswary Ramli
(Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh)
Ramai orang cuba membandingkan Najib Razak dengan Perdana Menteri Malaysia yang ada pada hari ini – Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perbandingan yang dibuat bukanlah berdasarkan prestasi terbaik mereka semasa memimpin dan mentadbir negara, ia adalah yang sebaliknya.
Najib Razak dibandingkan dengan pelbagai kes yang kini terpaksa ditanggung dan ditangguhnya di mahkamah. Semua berpunca daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang meletakkan beliau dan Malaysia menjadi perhatian dunia. Pihak berkuasa Amerika Syarikat melalui Jabatan Keadilan-nya juga turut memfailkan dokumen mahkamah bertujuan “merampas dan mendapatkan semula” berbilion ringgit aset-aset yang mereka namakan sebagai konspirasi global untuk mengubah wang haram dari dana mewah yang didakwa dikaitkan dengan Perdana Menteri ketika itu – Najib Razak.
Malaysia menjadi begitu terkenal dengan istilah kleptokrasi selepas itu, dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menang bergaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gara-gara skandal terbesar ini. Kemenangan PH itu juga turut disumbangkan dengan isu perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh Najib Razak bermula pada April 2015. Derita rakyat bertambah dengan perlaksanaan GST.
Najib Razak melakukan semahunya untuk menafikan semua dakwaan tersebut termasuk terpaksa berdepan dengan Timbalannya ketika itu – Muhyiddin Yassin. Akibatnya, Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan dalam rombakan kabinet dan menyaksikan perlantikan Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO waktu itu menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Muhyiddin Yassin kemudiannya dipecat daripada UMNO bersama-sama Mukhriz Mahathir dan Najib Razak kemudiannya menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ketika itu adalah Naib Presiden UMNO. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) lahir selepas tragedi malang tersebut.
Sehinggalah Julai tahun lepas, Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC). Najib Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan hukuman tersebut.
Semua ini memaksa rakyat mula membandingkan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hari ini dan apa yang Najib Razak buat semasa beliau berkuasa. ‘Abah’ yang mendapat kuasa dan kedudukan melalui jalan khianat kepada rakan-rakan dan rakyat pada mulanya dianggap hero oleh segelintir rakyat, kini mula digambarkan dengan sehodoh-hodoh pandangan.
Lalu timbul-lah idea yang membandingkan; ‘seteruk-teruk Najib Razak, Perdana Menteri sekarang jauh lebih buruk’. Mengimbau bagaimana Muhyiddin Yassin menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton, tidak keterlaluan untuk kita bersetuju bahawa rakyat punya asas tersendiri untuk membandingkan begitu. Selepas Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di enam (6) buah negeri pada 11 Januari lalu, kita semakin dapat memahami mengapa perbandingan tersebut terhasil.
Dengan arahan SOP yang kerap kali berubah, arahan tidak masuk akal seperti pembukaan premis perniagaan makanan yang terhad sehingga 8 malam sahaja dan arahan pembukaan sektor ekonomi dan sekolah yang terpaksa menunggu pengumuman Menteri lain, semua ini sudah cukup untuk menunjukkan kelemahan beliau sebagai Perdana Menteri yang beriya-iya mahu melaksanakan PKP tanpa apa-apa persediaan dan perancangan awal untuk melakukannya.
Tambah perit, pengumuman PKP acuh tak acuh tersebut tersembunyi di sebalik perancangan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan yang kini berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021. Rakyat di bawah yang baru sahaja belajar menyesuaikan diri dan memulihkan ekonomi keluarga kesan PKP yang pertama, kini terpaksa berdepan pula dengan kekangan PKP yang kedua dan Darurat ini.
Tidak cukup dengan itu, tular pula di sosial media mengenai surat yang menunjukkan Perdana Menteri yang didakwa bersetuju meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan tiga buah dewan di Parlimen Pagoh. Biarpun Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah tampil memberikan penjelasan berhubung kelulusan tersebut yang melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta, rakyat seperti tidak mampu bersabar lagi. Beban kewangan kesan PKP tanpa lanjutan moratorium, vaksin yang masih belum diterima jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, rakyat hilang pekerjaan, pendapatan menyusut, sikap Menteri dan Ahli Parlimen Kerajaan yang angkuh tidak mematahui SOP dan pelbagai senarai panjang lain yang menjadikan rakyat semakin meluat dengan Perdana Menteri yang seolah-olah hilang kawalan ini.
Maka timbul-lah perbandingan seperti yang disebut-sebut seperti di atas tadi. Dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, ramai yang menyangka Najib Razak kini boleh-lah tersenyum dan menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya gelaran ‘Perdana Menteri terburuk’ bukan lagi dipegang olehnya. Ramai yang mendakwa ia kini milik Muhyddin Yassin – Perdana Menteri dari Perikatan Nasional.
Namun kepada yang bertanya; siapakah yang ‘Perdana Menteri terburuk’ di antara keduanya – bagi saya, tidak ada yang berbeza. Nisbah beban yang terpikul di bahu rakyat sama sahaja seperti Najib Razak atau semasa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri – sama berat dan sama buruk. Tidak ada yang berbeza. Mereka berdua cuma menggilir memegang gelaran, mahkota cuma bertukar tangan. Itu sahaja. — Roketkini.com