Oleh Roketkini
Pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk perniagaan dan rakyat bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) disifatkan sebagai sangat mengecewakan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini apabila ia hanya dikitar semula dari Belanjawan 2021 atau pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.
“Tidak ada suntikan tunai baru kepada ekonomi dan jauh lebih kecil dari pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion yang disarankan oleh pembangkang untuk mengatasi kemelesetan ekonomi semasa demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.
“Muhyiddin sama ada tidak peduli atau diberi nasihat yang salah jika dia menjangkakan kesan PKP 2.0 tidak begitu merosakkan ekonomi, berbandingkan dengan PKP 1.0 yang dilaksanakan pada 18 Mac 2020, dengan alasan bahawa banyak perniagaan kini dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas PKP 1.0, Guan Eng berkata, pertumbuhan KDNK menjunam sebanyak negatif 17.1 peratus pada suku kedua 2020.
Menurut beliau yang juga mantan Menteri Kewangan, sekiranya ekonomi menjunam sebanyak dua peratus pada suku pertama atau kedua untuk tahun ini, ia susah tentu tidak baik untuk ekonomi Malaysia kerana secara relatif, pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka kukuh.
Tambahnya, pakej bantuan RM15 bilion PERMAI terlalu kecil dan jauh berbeza dari pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN bernilai RM305 bilion dengan suntikan fiskal RM45 bilion yang dilancarkan tahun lalu untuk mengurangkan kesan negatif PKP 1.0 kepada ekonomi negara.
Walaupun dengan langkah-langkah tersebut, jelasnya, ekonomi masih merosot kepada kemelesetan dan mencatat kadar pengangguran tertinggi dalam beberapa dekad iaitu 4.8 peratus pada bulan November 2020,” katanya.
“Apa yang pakej bantuan bernilai RM15 bilion, dengan anggaran perbelanjaan langsung hanya RM3.87 bilion yang diubah atau dialihkan dari keutamaan perbelanjaan yang ada, boleh membantu ekonomi kita untuk pulih?
“Pendekatan ‘barang lama dalam bekas baharu’ ini dapat dilihat oleh pengakuan Muhyiddin sendiri bahawa dana yang diperlukan bukanlah wang baru, tetapi diagih semula dari dana sedia ada dalam Belanjawan 2021,” katanya.
Oleh kerana tidak ada suntikan fiskal baru ke dalam ekonomi di bawah PERMAI, kata beliau, terdapat kesan signifikan yang kecil terhadap pertumbuhan ekonomi untuk mengeluarkan ekonomi negara keluar dari kemelesetan.
“Mengapa tidak ada pelepasan sewa atau subsidi untuk perniagaan yang menderita tanpa pendapatan? Bagaimanakah PERMAI oleh Muhyiddin ini dapat membantu melambatkan pemberhentian pekerja atau penutupan perniagaan dan menyelamatkan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia?” soalnya. – Roketkini.com
Berikut adalah anggaran perbelanjaan langsung oleh kerajaan, termasuk geran, yang dialihkan dari anggaran perbelanjaan yang telah diluluskan. Senarai ini tidak termasuk jaminan (yang tidak memerlukan peruntukan fiskal sebenar), langkah KWSP, pemotongan cukai, pengecualian fi dan tindakan berkaitan moratorium.
Berdasarkan anggaran ini, perbelanjaan langsung dalam pakej RM15 bilion dianggarkan berjumlah RM3.87 bilion.