Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan PN, berhenti hidup dalam penafian

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, pelabur asing tidak akan mudah ditipu untuk mempercayai pengisytiharan Darurat dan penggantungan Parlimen dilaksanakan untuk menangani penyebaran Covid-19 di Malaysia.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, pengisytiharan Darurat dan penggantungan Parlimen sebenarnya pengakuan terhadap ketidakstabilan politik, kelemahan tadbir urus dan kegagalan untuk membendung penularan Covid-19 oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Guan Eng mendesak agar Kerajaan PN berhenti hidup dalam penafian, dan langkah yang diambil tersebut tidak akan menarik pelabur asing.

“Kegagalan Malaysia untuk mengurus dan mengekang lonjakan Covid-19 telah dijadikan alasan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi nasihat yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan perintah Darurat dan menggantung Parlimen.

“Walau bagaimanapun, pelabur asing tidak akan mudah ditipu oleh Muhyiddin bahawa Darurat dan penggantungan Parlimen dilaksanakan untuk menangani krisis kesihatan awam ini, apabila mereka mengetahui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) yang dikuatkuasakan dengan betul adalah lebih dari cukup,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng juga berkata, bahkan sebelum darurat dilaksanakan, Fitch Ratings juga telah menurunkan penarafan kredit negara Malaysia tahun lalu disebabkan oleh ketidakstabilan politik dan tadbir urus yang lemah.

“Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali adalah salah kerana mengatakan bahawa Darurat, dan penggantungan Parlimen yang disebabkan oleh ketidakstabilan politik, tidak akan menakutkan pelabur asing.

“Adakah mereka membayangkan bahawa Darurat dan penggantungan Demokrasi Berparlimen akan menarik lebih banyak pelaburan asing?” soalnya.

Tambahnya lagi, tadbir urus dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengendalikan puluhan bilion ringgit dana awam, juga telah merosot dengan pelantikan ahli politik dan pendedahan penyelewengan kewangan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

“Bahkan sebelum Darurat, pelabur asing telah berpindah lebih awal ke negara lain. Hyundai telah memindahkan Ibu Pejabat wilayah Asia Pasifiknya bagi 33 negara dari Kuala Lumpur ke Indonesia.

“Pelabur asing tidak akan merasa mengagumi Malaysia sebagai negara pertama di Asia yang menggantung demokrasi berparlimen, petunjuk jelas terhadap ketidakstabilan politik yang kronik,” jelasnya. – Roketkini.com