Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Nama Saifuddin, Loke, Dzulkefly dikemukakan bagi jawatankuasa bebas

Oleh B. Suffian

Pakatan Harapan (PH) mengemukakan tiga nama untuk jawatankuasa bebas bagi membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan darurat.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama memberitahu, tiga nama tersebut adalah:

1. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu)

2. Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Seremban) 

3. Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) 

Menurut kenyataan itu, penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas itu tidak mengubah pendirian mereka bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima. 

“Kami serta majoriti ahli-ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” kata kenyataan itu hari ini.

Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas khas bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus. 

Katanya, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. – Roketkini.com