Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Wujudkan pahlawan alam sekitar masa depan

Oleh B. Suffian

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini melancarkan inisiatif 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim.

Inisiatif tersebut adalah kempen unik yang menggerakkan seluruh masyarakat untuk memerangi perubahan iklim.

Dengan pelancaran 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim, Guan Eng berharap,  generasi pahlawan eko yang akan memimpin jalan menuju masa depan iklim yang lebih bersih dan lebih hijau akan diwujudkan. 

“Sebagai sebuah komuniti, kita perlu bersatu untuk menyelamatkan umat manusia dan mewariskan alam semula jadi kepada generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan. 

Guan Eng berkata, selama beberapa dekad, DAP telah memperjuangkan agenda perubahan iklim dan merupakan parti politik pertama di Malaysia yang menggariskan dasar yang jelas mengenai perubahan iklim. 

Walaupun tidak lama berada dalam kerajaan, tambahnya, Pakatan Harapan (PH) telah mendedikasikan satu kementerian untuk membangun dan melaksanakan dasar berkaitan perubahan iklim. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, Kerajaan PH memahami betapa seriusnya ancaman perubahan iklim dan pemanasan global kepada dunia. 

Katanya, perubahan iklim dianggap sebagai salah satu daripada dua ancaman kritikal terhadap kewujudan bangsa manusia selepas senjata nuklear dan mungkin yang ketiga, secara tidak langsung adalah rasuah. 

“Ini adalah bukti betapa seriusnya isu perubahan iklim,” katanya. 

Menurutnya, beliau percaya, sebagai sebuah negara, kita perlu melakukan lebih banyak perkara untuk melawan kesan buruk dari perubahan iklim.  

Jelas beliau, Malaysia juga terdedah sama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan banjir dahsyat yang sering dihadapi.

“Ketika PH memegang Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang dipimpin oleh Yeo Bee Yin, kita telah menggerakan banyak agenda perubahan iklim seperti yang telah beliau jelaskan sebelum ini. 

“Kita telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan dipuji kerana memperjuangkan isu perubahan iklim di pentas dunia,” katanya. – Roketkini.com

Tonton pelancaran secara maya 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim di sini.