Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

DAP konsisten bincang dasar awam, bentuk gabungan idea demi kesejahteraan semua

Oleh B. Suffian

DAP adalah sebuah parti yang konsisten mengetengahkan perbincangan dasar awam, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, kepimpinan DAP yang diterajui pemimpin muda telah mengambil pendekatan politik baharu, membentuk gabungan idea (coalition of ideas) dengan memikirkan dasar-dasar awam berkaitan ekonomi rakyat dan negara, merentasi pelbagai kumpulan dan etnik demi kesejahteraan semua pihak. 

“Gabungan idea ini akan menjadi penanda aras kepada DAP untuk mara ke hadapan mengatasi cabaran nasional,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Perkara itu ditekankan beliau semasa bual bicara dalam program Dialektika TV baru-baru ini.

Dalam program sama, Chin Tong yang juga mantan timbalan menteri berkata, terdapat beberapa pihak mahu penjelasan mengenai struktur kepimpinan DAP. 

Beliau menjelaskan, dalam DAP jawatan Setiausaha Agung bertaraf Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sesebuah organisasi manakala Pengerusi adalah setaraf Pengerusi Lembaga Pengarah.

“Pengerusi bertugas memastikan wujud semak imbang ke atas CEO melalui Mesyuarat Lembaga – dan dalam kes DAP, mesyuarat ini adalah mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

“Setiausaha Agung atau CEO tidak mempunyai kuasa mutlak. Beliau mempunyai kuasa eksekutif untuk tujuan operasi, namun perlu mengikut keputusan bersama CEC atau Lembaga dalam soal-soal dasar,” katanya. – Roketkini.com