Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PH gesa EU hormati hak negara membangun dapat akses vaksin, mahu kerajaan perjelas kesan sekatan

Oleh Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan

Pakatan Harapan gesa Kesatuan Eropah (EU) hormati hak Negara Membangun untuk mendapat akses kepada vaksin. 

Kerajaan Malaysia perlu perjelas kesan Sekatan Eksport Vaksin EU.

Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan risau kami berkenaan keputusan terbaru Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan Sekatan Eksport terhadap vaksin yang dihasilkan di negara-negara EU.

Dasar ini akan menimbulkan rasa bimbang terhadap kemungkinan lahirnya semangat ‘nasionalisme vaksin’ (vaccine nationalism) di negara-negara pengeluar vaksin.

Pakatan Harapan menggesa EU untuk menghormati hak negara membangun untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19. 

Kami berdiri bersama semua negara membangun yang lain dalam menggesa negara-negara pengeluar vaksin untuk menghormati kontrak-kontrak yang telah ditandatangani antara negara-negara dan syarikat vaksin, dan agar tidak dikenakan sebarang sekatan eksport. 

Pada waktu pandemik global ini, semua negara perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian.

Keputusan EU ini sudah pasti akan memberi kesan kepada Program Vaksinasi Covid-19 di Malaysia. Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan menggesa Kerajaan Malaysia untuk segera menjelaskan status dan kesan sekatan ini terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Covid-19. 

Berdasarkan laporan, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 120 negara yang dikecualikan dari sekatan eksport lebih ketat bagi vaksin Covid-19 yang dihasilkan di EU.

Kawalan eksport awal oleh EU terhadap vaksin Covid-19 yang blok tersebut telah tempah – termasuk Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca – terpakai di antara 30 Januari higga 31 Mac. Ini dipercayai akan memberi kesan kepada Malaysia kerana vaksin Pfizer yang kita tempah dihasilkan di kilang di Belgium.

Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kemungkinan kesan sekatan ini terhadap pelaksanaan program vaksin negara, lebih-lebih lagi kerana Malaysia dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini, dan program vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19 dijangka bermula bulan ini juga.

Tambahan pula, Malaysia dijadual untuk menerima 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April sebagai tambahan kepada bekalan vaksin Pfizer untuk fasa vaksinasi berikutnya, yang akan melibatkan inokulasi warga emas dan kumpulan berisiko tinggi terutama yang mempunyai komorbiditi (comorbidity) sedia ada.

Walaupun kerajaan mempunyai portfolio vaksin lain termasuk vaksin Sinovac dari China yang dijangka tiba dalam suku pertama tahun ini, namun ia belum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang biasanya akan mengambil masa 60-90 hari untuk memberi kelulusan.

Vaksin Sinovac juga telah menunjukkan keberkesanan yang tidak sekata dalam pelbagai ujian klinikal, dengan menunjukkan keberkesanan 50.4 peratus dalam ujian tahap akhir di Brazil.

Semua faktor ini mungkin menyebabkan kelewatan pelaksanaan program vaksinasi. 

Dengan pertambahan kes Covid-19 dalam negara, kerajaan perlu jelaskan perancangan dan hala tuju dalam mengatasi cabaran ini serta menyatakan pelan alternatif untuk mengawal jangkitan Covid-19 sambil kita menantikan ketibaan vaksin.

Bagaimana kelewatan ini akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kita kepada syarikat-syarikat farmaseutikal? Apakah jangkamasa baharu kerajaan dengan perkembangan terbaru ini?

Pakatan Harapan percaya bahawa kerajaan perlu telus dan menjelaskan kepada rakyat tentang kemungkinan kelewatan ini. 

Kerajaan juga perlu proaktif merangka pelan mengatasi kesan kelewatan dan menyediakan pelan menyeluruh untuk mengekang wabak virus ini dari terus menular dalam negara. Respon “Find, Test, Trace, Isolate, and Support” (FTTIS) perlu diperbaiki segera untuk memastikan jumlah ujian saringan adalah dalam julat lima peratus yang disaran WHO, isu lambakan kes diselesaikan, dan pengesanan kontak rapat diperkemas menggunakan aplikasi dgitial.

YB Dr Dzulkefly Ahmad – Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan

YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)

YB Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching)

YB Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Lumut)

YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)

YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi)

YB Dr Norlela bt Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang)

YB Dr Siti Maria Mahmud (Exco Kesihatan Selangor)

YB Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan)