Berita, Isu Semasa, Rencana

DAP prihatin pendidikan anak-anak Malaysia

Oleh Ghafar NS

Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita menyedihkan tentang ibu bapa, pihak sekolah dan para pelajar yang berhadapan dengan kesukaran menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tidak pasti, apakah usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama setahun kita menghadapi kemelut pandemik Covid-19 ini? Kerana yang nyata masalah-masalah kritikal pendidikan negara masih belum ada solusi.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) sentiasa melihat pendidikan adalah hak semua anak Malaysia. Lebih-lebih lagi ramai yang terkesan akibat tidak dapat memenuhi PdPR kerana tekanan hidup di kala pandemik belum lagi menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hampir setiap minggu menggesa kerajaan dan KPM bertindak lebih pantas dan tegas bagi membela nasib seluruh pelajar di Malaysia yang kini masih lagi terkapai-kapai bagi meneruskan pembelajaran.

Persoalan tentang tempoh pengagihan 150,000 komputer riba terhadap pelajar-pelajar memerlukan juga acap kali disuarakan, namun ia masih dilengah-lengahkan seolah-olah pendidikan anak-anak yang kurang berkemampuan adalah suatu hal picisan sahaja.

Teo Nie Ching juga telah beberapa kali menegur kerajaan PN dan KPM bahawa pendekatan ‘one-size-fit-all’ tidak akan berjaya. Kedua-dua pihak sepatutnya sedar akan perbezaan taraf hidup, kesenjangan digital dan masalah-masalah lain dalam masyarakat agar dapat ditangani sebaiknya.

Sejak Mac 2020, ramai wakil rakyat DAP menyalurkan bantuan berupa alat peranti elektronik kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan masing-masing di serata negara. Sehingga hari ini, masih ramai penyumbang yang baik hati menghulur bantuan kepada pusat-pusat khidmat rakyat DAP bagi membantu pelajar-pelajar yang masih tidak mempunyai alat peranti elektonik bagi menjalani PdPR.

Antara wakil rakyat DAP yang menjalankan usaha ini adalah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Wong, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan ramai lagi.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dan Adun Tebing Tinggi, Dr Aziz Bari pada awal tahun ini telah bekerjasama menganjurkan Program Bantuan Balik Sekolah bagi memberi Pakej Balik Sekolah kepada 100 orang pelajar sekolah di Kawasan Ipoh Timor.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Wong dan Adun Bukit Tinggi, Dr Aziz Bari bergambar bersama pelajar-pelajar yang menerima Pakej Balik Sekolah di hadapan Pusat Komuniti DAP

Program ini selain bertujuan untuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar-pelajar memerlukan, ia membuka ruang kepada Kah Woh bagi membakar semangat mereka, berkongsi pengalaman, dan memberi dorongan kepada para pelajar yang terkesan akibat pandemik ini.

Terbaru, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bersama pasukan Sayangi Kluang mewujudkan tiga inisiatif penting bagi membantu pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di kawasannya.

Antara perkhidmatan yang disediakan bagi memastikan pelajar-pelajar di Kluang dapat meneruskan pembelajaran ialah perkhidmatan mencetak kerja rumah percuma, tambah nilai data internet dan memberikan alat peranti elektronik percuma bagi keluarga yang benar-benar memerlukan.

“Harapan saya agar pembelajaran anak-anak kita tetap diteruskan dan tiada siapa yang tercicir. Kita perlu terus kuat dan bersatu hati dalam mengharungi cabaran dalam keadaan yang sukar ini,” kata Shu Qi dalam satu hantaran status di Facebooknya berkenaan inisiatif-inisiatif ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut tidak membuang masa melancarkan lima inisiatif di bawah kempen “Asal Cek Mau Pi Sekolah” bagi membantu para pelajar di Bukit Mertajam mengharungi cabaran pendidikan mereka.

Antara lima usaha yang dilaksanakannya dan pasukan I LOVE BM di Parlimen Bukit Mertajam ialah, perkhidmatan cetak kerja rumah percuma, kelas bimbingan atas talian percuma, top-up data internet untuk kelas online, program anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan pemberian komputer riba percuma pada pelajar memerlukan.

Kata Steven, lima inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan tiada anak-anak Bukit Mertajam yang tercicir pembelajaran ketika krisis pandemik Covid-19 ini.

Akhbar-akhbar arus perdana mungkin ‘terlepas’ melaporkan sumbangan dan usaha wakil-wakil rakyat DAP ini. Namun, rakyat pastinya dapat melihat dan membezakan wakil-wakil rakyat yang tetap tegar menjalankan khidmat dan yang tidur dipangku pangkat dan kuasa.