Isu Semasa, Kenyataan Akhbar, Uncategorized

Rakyat Malaysia bakal berhadapan dengan perayaan Tahun Baru Cina yang suram

Oleh Lim Kit Siang
Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Rakyat Malaysia bakal berhadapan dengan perayaan Tahun Baharu Cina yang suram dengan penyambungan pelaksanaan perintah kawalan pergerakana (PKP 2.0) sehingga 18 Februari 2021.

Sekiranya jangkaan Institut Kesihatan Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan yang baru disemak semula terbukti tepat, Malaysia bakal mencatatkan 8,000 kes baharu Covid-19 setiap hari menjelang minggu pertama bulan Mac, dan 10,000 kes sehari menjelang minggu kedua Mac akibat kadar jangkitan yang lebih tinggi. 

Pada masa itu, jumlah kes terkumpul dalam negara akan melepasi paras 400,000 kes menjelang minggu kedua Mac, dan kita akan menjadi dalam kalangan 40 negara dengan jumlah kes tertinggi di seluruh dunia. 

Malaysia juga bakal mencatatkan sejarah hitam sebagai satu-satunya negara yang telah melonjak 45 kedudukan daripada tempat ke-85 pada 18 November 2020 kepada tempat ke-40 atau lebih tinggi lagi. 

Perkara ini adalah salah satu tafsiran terburuk janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk “menegakkan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia” seperti yang dikatakan dalam Perutusan Tahun Baharu beliau. 

Cabaran terbesar hari ini adalah untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam strategi dan pendekatan negara untuk melawan wabak Covid-19, yang kini telah berkecai apabila rakyat melihat layanan berbeza dalam pelaksanaan SOP Covid-19, di mana para menteri Perikatan Nasional dan golongan VIP boleh melanggar SOP tanpa sebarang akibat, dan juga dengan keputusan bercelaru kerajaan. 

Menteri, Timbalan Menteri, dan para pemimpin politik tidak boleh bertindak seakan-akan mereka tidak sedar mengenai krisis kepercayaan kritikal yang sedang dihadapi dalam menguruskan wabak Covid-19 di negara ini. 

Dengan penghantaran pertama vaksin Covid-19 dijadualkan sampai pada 26 Februari, perkara ini bermakna program vaksinasi di Malaysia hanya akan bermula pada bulan Mac. 

Setakat hari ini, lebih daripada 101 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 64 buah negara di seluruh dunia. 

Memandangkan Malaysia berada di belakang negara-negara lain, kita perlu memastikan yang kita bersedia untuk menyelesaikan cabaran logistik dan cabaran-cabaran lain supaya kita tidak berhadapan dengan sebarang masalah dalam memastikan kelancaran program vaksinasi di negara kita. – Roketkini.com