Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kesihatan mental tak patut dijadikan gurauan

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegaskan, kesihatan mental tidak patut dijadikan sebagai bahan gelak tawa dan gurauan.

Beliau mendakwa, adalah sangat mengecewakan apabila Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, dilihat bergelak isu sebegini dalam satu program baru-baru ini.

Lip Eng memberitahu, isu kesihatan mental merupakan subjek yang sangat-sangat sensitif, lebih-lebih lagi berkaitan isu bunuh diri dan kemurungan.

Menurutnya, pakar-pakar perubatan juga sangat berhati-hati apabila mengulas tentang isu ini.

“Di dalam sedutan klip program TV Harakah tersebut dapat kita lihat moderator menggunakan terma ‘gila’ dan ‘bunuh diri’ secara melulu.

“Siti Zailah yang menjadi panel dalam forum tersebut juga tidak menegur perbuatannya, sebaliknya bersama-sama mentertawakan isu yang dibicarakan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Terdahulu, Siti Zailah telah menyertai program anjuran TV Harakah bertajuk “Kemurungan dan Bunuh Diri semasa PKP: Apa Solusi Islam?”

Lip Eng menambah, permohonan maaf wajar diberikan oleh yang melakukan perbuatan berkenaan.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk stigma terhadap isu bunuh diri dan kemurungan dihentikan.

“Janganlah berbicara tentang sesuatu perkara yang kita tidak mempunyai kearifan di dalamnya,” katanya. – Roketkini.com