Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Rakyat tidak inginkan pilihan raya tapi mahu kestabilan politik

Oleh B. Suffian

Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah sah sehingga 2023.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan memberitahu, amat jelas, rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.

“Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat bulanan malam semalam turut membincangkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu.

Menurutnya, senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21 Januari lalu iaitu lebih dua minggu yang lalu.

Namun kata kenyataan itu, sehingga hari ini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat.

“PH berpendirian bahawa segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan juga mengatasi kelembapan ekonomi sudah terkandung di dalam undang-undang sedia ada,” katanya. – Roketkini.com