Berita, Isu Semasa

Terima kasih Datuk Lee Chong Wei! Taja 50 tablet untuk kempen ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’

Oleh B. Suffian

Wira di dalam dan di luar gelanggang — Itulah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau akan menyumbangkan 50 tablet untuk kegunaan pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Parlimen Bukit Mertajam untuk program ‘Asal Cek Mau Sekolah’ yang digerakkan ahli Parlimen kawasan tersebut, Steven Sim.

Hasrat itu disuarakan oleh Chong Wei menerusi panggilan telefon kepada Steven semalam setelah mendapat tahu tentang program berkenaan.

“Wira kita datang menyelamat! Semalam Chong Wei menelefon saya setelah mendapat tahu tentang program Asal Cek Mau Pi Sekolah. Kami sempat berbual-bual tentang keluarga masing-masing, kesihatan dan sektor sukan negara.

“Berita baik daripada wira kesayangan kita: Chong Wei akan taja 50 buah tablet Samsung Tab A8 untuk program Asal Cek Mau Pi Sekolah!

“Terima kasih yang amat sangat. Anda memang wira di dalam dan di luar gelanggang. “Kam siah! (terima kasih),” kata Steven di laman Facebook.

Kempen ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ digerakkan bagi membantu para pelajar di Bukit Mertajam mengharungi cabaran pendidikan mereka.

Antara lima usaha yang dilaksanakannya dan pasukan I LOVE BM di Parlimen Bukit Mertajam ialah, perkhidmatan cetak kerja rumah percuma, kelas bimbingan atas talian percuma, top-up data internet untuk kelas online, program anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan pemberian komputer riba percuma pada pelajar memerlukan.

Lima inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan tiada anak-anak Bukit Mertajam yang tercicir pembelajaran ketika krisis pandemik Covid-19.

Orang ramai boleh membuat sumbangan untuk projek kebajikan pelajar dari keluarga kurang kemampuan itu melalui ‘Akaun Khas Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam’ di nombor akaun MAYBANK 5570 9052 7361. – Roketkini.com