Kenyataan Akhbar

Walaupun berbeza kaum dan agama, kita tetap rakyat Malaysia – Kit Siang

Oleh Lim Kit Siang
Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Pada hari ulang tahun ke-118 kelahiran Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, saya teringat kepada tiga kata-kata beliau:

“Kita semua rakyat Malaysia. Inilah perkara yang menyatukan kita semua. Marilah kita sentiasa beringat bahawa perpaduan adalah kekuatan utama kita sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara.”

“Kita perlu sentiasa berfikir sebagai seorang rakyat Malaysia dahulu, memberikan keutamaan tertinggi kepada kepentingan negara dan tidak mengutamakan kepentingan sendiri… Semua orang perlu cuba untuk membantu dan memastikan rakyat Malaysia bersatu padu, dengan kesetiaan dan hanya satu matlamat — untuk menjadikan Malaysia yang kita cintai — sebuah tempat yang dicintai oleh semua. Jika kita semua berusaha ke arah ini, kita boleh jamin kebebasan, keselamatan, kemakmuran dan kegembiraan untuk semua di masa hadapan.”

“Semua percakapan mengenai Negara Islam ini hanyalah angan-angan kosong. Tidak ada sesiapa pun yang akan menerima sebuah negara yang mengasaskan pentadbiran politiknya kepada mana-mana agama, dan di dalam sebuah negara seperti Malaysia, dengan penduduk majmuk yang berbilang kaum dan berbilang agama, tidak ada ruang untuk sebuah Negara Islam.”

Cara terbaik untuk memperingati memori Tunku adalah dengan merealisasikan cita-cita beliau di mana tidak kiralah apa-apa kaum atau agama, yang penting kita semua adalah rakyat Malaysia.

Amat menyedihkan apabila kita melihat kegagalan usaha pembinaan negara bangsa kita, di mana selepas enam dekad, negara kita masih dihantui dengan politik yang berfikiran sempit dan tidak bertoleransi yang berteraskan isu perkauman dan keagamaan.

Malaysia tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara sehinggalah semua rakyat Malaysia mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti kaum atau agama mereka.

Tidak ada sesiapa pun yang meminta supaya rakyat Malaysia berhenti daripada menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist, tetapi kita semua perlu bersama dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia.

Kita perlu beringat kepada kata-kata Tunku, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya yang menerangi dunia yang kelam dan terganggu” dan menjadi contoh kejayaan Gabungan Tamadun dunia, di mana Malaysia menjadi pusat pertemuan empat kebudayaan besar dunia — Tamadun Islam, Cina, India, dan Barat — dan bukannya menjadi kegagalan akibat pertembungan di antara tamadun-tamadun ini.