Oleh Ahli-ahli Dewan Negara Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan Pakatan Harapan Plus
Kami, Ahli-ahli Dewan Negara Pakatan Harapan Plus khususnya yang terlibat sebagai anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, ingin menzahirkan kekesalan kami yang amat dengan kenyataan Senator Datuk Razali Idris seperti yang dilaporkan Bernama semalam.
Senator Datuk Razali dilaporkan berkata bahawa tindakan mengkritik kerajaan di media sosial adalah “…penyakit mental nombor satu yang memerlukan tindakan undang-undang yang lebih tegas dan efektif.”
Oleh yang demikian menurutnya, suatu rang undang-undang baharu berkait cercaan, hasutan dan carutan perlu diperkenalkan secara khusus atau melalui pindaan undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Senator Datuk Razali nampaknya begitu rentan sekali dengan kritikan pedas rakyat Malaysia terhadap kelemahan kerajaan menguruskan wabak Covid-19, sehingga sanggup membungkam hak bersuara rakyat Malaysia, bertentangan dengan peruntukan hak asasi yang dijamin teguh oleh Perlembagaan Persekutuan.
Senator Datuk Razali juga sewajarnya lebih memperlihatkan kematangan sebagai Ahli Dewan Negara dan tidak menyalahgunakan frasa ‘penyakit mental’ sesuka hati beliau, tanpa sedikit pun rasa sensitif terhadap demikian ramai pihak yang menderita menanggung kemurungan akibat ketidaktentuan ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebenarnya Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah ditubuhkan pada bulan Disember 2020 sebagai satu platform bi-partisan untuk menyiasat masalah-masalah yang dihadapi rakyat.
Isu yang dicadangkan untuk disiasat termasuklah kesesakan penjara, isu daging halal, isu Felda dan pelbagai lagi. Beberapa sesi mesyuarat telah diadakan pada bulan Disember 2020 tetapi Pengerusi Kaukus tidak lagi memanggil mesyuarat selepas itu, mungkin kerana Parlimen telah digantung susulan Perisytiharan Darurat.
Senator Datuk Razali tentunya berhak bersuara sebagai seorang Ahli Dewan Negara, walaupun kami tidak bersetuju dengan pandangan beliau pada kali ini.
Akan tetapi, adalah tidak wajar bagi beliau untuk mewakili Kaukus apabila pandangan yang diutarakan adalah penuh kontroversi, dan bersifat partisan.
Seboleh mungkin, seluruh Ahli-ahli Dewan Negara harus menyahut seruan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama DR Rais Yatim untuk menjadikan Dewan Negara sebagai suatu medan yang lebih bi-partisan. Salam hormat!
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Senator Hjh Raj Munni Sabu (Kaukus)
Senator Liew Chin Tong (Kaukus)
Senator Datuk Theodore Doughlas (Kaukus)
Senator Ismail Yusop (Kaukus)
Senator DR Yaakob Sapari
Senator Dato Wira Marzuki Yahaya
Senator Waythaa Morthy Ponnusamy
Senator Dato Donald Peter Mojuntin
Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah
Senator Datuk Husam Musa
Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
Senator Manolan Mohamad
Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid
Senator Dr Ahmad Azam Hamzah
Senator Lim Hui Ying
Senator Nga Hock Cheh
Senator Alan Ling Sie Kiong
Senator Adrian Banie Lasimbang
Senator Kesavadas Achyuthan Nair
Senator Suresh Singh