Berita

Kenapa Peguam Negara tak bertindak terhadap portal muafakatnasional.net?

Oleh Zamzani Husin

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini mempersoalkan keputusan peguam negara untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik portal muafakatnasional.net kerana menyebarkan fitnah membabitkan dirinya.

Memetik laporan media, katanya, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Julai 2020 telah mengesahkan kontroversi yang melibatkan beliau itu adalah berpunca daripada poster yang dibuat oleh portal berkenaan. 

“Mengapakah pihak yang mengeluarkan kata-kata palsu itu tidak dikenakan tindakan walaupun KPN secara terbuka telah mengenalpasti dalangnya? 

“Adakah Peguam Negara tidak langsung mempertimbangkan kenyataan yang dibuat oleh KPN dalam membuat keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA)?

“Adakah keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara selari dengan peruntukan undang-undang atau terdapat sebab lain yang tidak ada kaitan dengan undang-undang?” soalnya dalam kenyataan, hari ini. 

Hannah dipanggil ke Bukit Aman pada Jun tahun lalu untuk diambil keterangan berhubung hantaran berbaur hasutan yang dikaitkan dengan dirinya. 

Siasatan polis mendapati hantaran fitnah itu tiada kaitan dengan Hannah sebaliknya dilakukan portal muafakatnasional.net.

“Siasatan mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini ialah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukannya daripada Twitter atau Facebook milik Hannah Yeoh.

“Keterangan suspek telah dirakam dan gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik poster itu juga telah dirampas,” kata Hamid Bador seperti dipetik Bernama. 

Pun begitu, Hannah yang juga Naib Pengerusi Wanita DAP berkata, beliau dimaklumkan oleh polis bahawa setakat ini kes berkenaan telah distatuskan sebagai NFA oleh peguam negara. 

“(Justeru) Saya ingin mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan NFA terhadap siasatan kata-kata palsu yang dilemparkan terhadap saya yang telah menyebabkan kegusaran ramai,” ujarnya. — Roketkini.com