Kenyataan Akhbar

Kenyataan dikatakan diputar belit, Adun Bilut lapor polis

Oleh B. Suffian

Adun Bilut, Lee Chin Chen menerusi pembantunya telah membuat laporan polis semalam atas kejadian kenyataan media beliau yang didakwa diputarbelitkan oleh pihak tertentu.

Chin Chen dalam satu kenyataan malam semalam memberitahu, laporan itu telah dilakukan pembantunya, Shan Mei Yen di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang petang semalam. 

Jelas Adun Bilut itu, sebagai ahli politik, beliau mengalu-alukan penterjemahan kenyataan medianya ke bahasa Melayu dan bersedia menerima kritikan dari semua pihak. 

Walau bagaimanapun, jelasnya, ia mesti diterjemahkan mengikut maksud asalnya dan tidak boleh diubah sesuka hati. 

Menurutnya, beliau mendapati bahawa kenyataan medianya yang dikeluarkan pada 15 Februari lalu yang bertajuk Operasi Pemeriksaan dengan Senjata Seumpama Dalam Negara Polis, KPN perlu memohon maaf telah diterjemah dan dipaparkan di laman web Airtimes.my. 

Namun katanya, terjemahan mereka bukan sahaja tidak tepat tetapi ia telah memutarbelikan maksud asalnya sehingga menimbulkan kesalahfahaman dalam kalangan warganet berbangsa Melayu.

“Sebagai contoh, teks asalnya menulis bahawa beliau faham polis serta tentera juga melakukan pemantauan di tempat ibadat lain, namun persoalannya bukan sama ada layanan yang serupa diberikan kepada semua tempat ibadat agama oleh anggota polis dan tentera, tetapi membawa senjata ke dalam tokong tanpa justifikasi yang mencukupi merupakan penguatkuasaan yang berlebihan.

“Namun, terjemahan Airtimes menyatakan bahawa beliau (Chin Chen) ‘mempersoalkan adakah layanan sama rata diberikan kepada semua agama oleh anggota polis dan tentera semasa memeriksa rumah ibadat lain.’ Jelasnya ini adalah putar belit yang disengajakan,” katanya.

Sebagai tambahan, beliau memberitahu, tajuk artikel yang dipapar di laman web tersebut menyatakan bahawa beliau menegur pihak tentera dan polis biadab. 

Namun tambahnya, penyataan asal beliau hanya berpendapat bahawa tindakan pihak tentera dan polis yang memasuki tokong dengan senjata adalah ‘penguatkuasaan yang berlebihan dan juga tindakan kasar yang mengabaikan sensitif agama.’

Menurutnya, jelas sekali kritikan beliau adalah tertumpu kepada dinamik antara kerajaan yang menggunakan kuasa kepada rakyatnya dan ia langsung tidak melibatkan persoalan sopan atau biadab.

Beliau menekankan, kenyataan asalnya mengomentari (mengulas) kejadian itu dari perspektif menghormati adat resam dan kepercayaan di antara kaum, mengkritik penguatkuasaan yang berlebihan dan ‘kekembalian politik autoritarian’. 

Oleh itu, katanya, beliau mengesyaki bahawa sesetengah pihak di belakang laman web tersebut sengaja menyalahtafsirkan kenyataan tersebut untuk menghasut sentimen perkauman dan berharap polis akan menyiasat perkara tersebut dengan secepat mungkin. – Roketkini.com