Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Sumber kekayaan Rina Harun meragukan, SPRM harus siasat – Jenny

oleh Ghafar NS

Hari ini, Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Jenny Choy membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendesak siasatan terhadap sumber kekayaan Datuk Seri Rina Harun dalam menyelesaikan hutangnya.

“SPRM perlu menyiasat bagaimana Rina Harun berjaya membayar hutangnya sebanyak RM1,340,642 dalam 15 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jenny, SPRM harus menyiasat sama ada Menteri di Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu mempunyai sumber pendapatan tambahan atau pun tidak.

Tambah Adun Canning itu lagi, merujuk kepada data pengisytiharan aset SPRM pada bulan November 2019, Rina Harun menyatakan bahawa asetnya berjumlah RM72,000 dengan pendapatan bulanan RM34,004.48.

“Sekiranya sumber pendapatan Rina Harun tidak berubah, beliau memerlukan lebih kurang 40 bulan untuk mengumpulkan dana yang cukup bagi melunaskan hutang tanpa mengeluarkan satu sen pun dari pendapatannya,” kata Jenny lagi.

Pada 8 November 2018, sebuah syarikat Perancis telah mengemukakan saman terhadap Rina untuk beberapa filem, rancangan komedi dan dokumentari dalam genre komedi yang dijual kepada tiga syarikat di mana Rina adalah pengarah.

Kemudian pada 17 November 2020, Rina diberi notis bankrap untuk hutang berjumlah RM1,340,642.02.