Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Utamakan rumah jagaan warga tua – Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH

Oleh Aziera NH

Kerajaan didesak mengutamakan warga tua terutama mereka yang menginap di rumah penjagaan warga emas dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Kebangsaan bagi mengurangkan beban kesihatan dan kadar kematian akibat Covid-19.

Ini kerana golongan itu adalah golongan yang berisiko tinggi dengan kemungkinan kematian yang lebih tinggi kerana usia dan penyakit lain yang sering dihadapi warga tua.

Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman mengenai kluster yang melibatkan rumah jagaan warga tua membuktikan adanya keperluan besar untuk memberi pengutamaan vaksinasi kepada warga emas.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Dr Dzulkifly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Maria (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela (Exco Kesihatan Pulau Pinang), dan S. Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

Setakat ini, kluster melibatkan rumah jagaan warga tua adalah Kluster Geronggang dan Mas Merah di Sarawak yang telah melaporkan 51 kes positif dan satu kematian dan kluster Jalan Cheras yang melaporkan 24 kes setakat ini.

Tambah kenyataan itu lagi, masalah sebaran wabak Covid-19 di rumah jagaan warga emas tidak hanya terhad di Malaysia tetapi juga merupakan fenomena global.

Di Malaysia, katanya, daripada 2.3 juta orang di atas usia 65 tahun, sekitar 30,000 hingga 40,000 tinggal di rumah jagaan warga emas dan terdapat 8,000 pekerja di rumah-rumah jagaan berkenaan.

Menurutnya, hanya 350 rumah jagaan yang berdaftar daripada anggaran sekitar 1,500 rumah jagaan warga tua keseluruhannya.

“Risiko kematian bagi warga rumah penjagaan warga emas adalah sangat tinggi. Warga emas yang tinggal di rumah jagaan sangat rentan bukan hanya kerana keadaan kesihatan mereka tetapi juga kerana keadaan hidup mereka yang sesak.

“Itulah sebabnya langkah proaktif diperlukan untuk melindungi bukan sahaja kesihatan warga emas tetapi juga pekerja yang menjaga mereka,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi mereka, dengan memasukkan penginap rumah penjagaan warga emas dalam fasa 1 program vaksinasi akan dapat menurunkan angka rawat inap terutama bagi mereka yang dirawat dengan gejala yang lebih teruk selain dapat mengurangkan kadar kematian keseluruhan sekali gus mengurangkan beban wira barisan hadapan kita.

“Itulah sebabnya kami mendesak agar Kerajaan Persekutuan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk memasukkan penginap rumah penjagaan warga emas yang berdaftar dan tidak berdaftar dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Nasional.

“Rumah jagaan warga emas boleh menjadi penyebar virus besar jika tindakan pencegahan proaktif tidak diambil,” tegas mereka. – Roketkini.com