Oleh B. Suffian
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan empat cadangan kepada Kementerian Pendidikan susulan pengumuman pembukaan kembali sesi persekolahan awal Mac ini.
1. Pembukaan semula sekolah di seluruh negara haruslah mengambil kira status negeri tidak sama seperti perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
2. Memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan bersama buka atau tutup sekolah sendiri kerana setiap lokasi yang berbeza memiliki kes dan keadaan yang berbeza.
Kementerian Pendidikan tidak boleh membuat ‘blanket decision’ ketika pandemik sedang melanda negara kita.
3. Dalam masa sama, sekolah juga haruslah memberi ruang kepada guru untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak.
Semua tugas pentadbiran, pembinaan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan buat masa ini.
4. Guru-guru dan kakitangan sekolah harus menjadi prioriti (golongan pertama) dalam program vaksin kerana saat sekolah beroperasi kembali, guru juga adalah frontliners yang berjuang untuk mendidik anak bangsa.
“Kerajaan wajib mempunyai pelan-pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar, guru malah semua yang turut terkesan dapat mengusahakan langkah-langkah persediaan yang rapi,” kata kenyataan itu baru-baru ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa) dan Datuk Dr. Hasan Baharom (Ahli Parlimen Tampin). – Roketkini.com
Baca kenyataan penuh Jawatankuasa Pendidikan PH DI SINI