Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kembalikan demokrasi berparlimen segera – Guan Eng

Terdapat keperluan mengembalikan Parlimen agar suara rakyat biasa dapat didengari, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu juga, selain penurunan tahap kebebasan asasi, tahap korupsi Malaysia merosot, jatuh enam anak tangga ke tangga 57 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2020 Transparency International.

“Penurunan kebebasan asasi dan menggantung Parlimen pada umumnya disertai oleh peningkatan amalan rasuah.

“Oleh itu, kita boleh menjangkakan kedudukan CPI Transparency International Malaysia akan semakin merosot tahun ini,” tambah Guan Eng lagi.

12 Januari lalu, PH dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Guan Eng menolak alasan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ancaman Covid-19.

Ujar Guan Eng, beliau telah diberitahu oleh peguam dan AP Jelutong RSN Rayer bahawa dirinya dipanggil untuk siasatan polis kerana membuat panggilan (mengambalikan fungsi Parlimen) sedemikian.

“Namun, saya menolak untuk didiamkan dan akan terus mendesak pengembalian demokrasi berparlimen dengan segera untuk memastikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dapat dikembalikan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.