Berita, Isu Semasa

PH tak terbabit semakan buku teks sejarah, semakan dijalankan pakar bidang – Nie Ching

Oleh B. Suffian

Pakatan Harapan (PH) tidak terbabit dalam semakan buku teks sekolah, tegas mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau mengulas dakwaan Pemuda Umno bahawa terdapat fakta dimanipulasikan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menegaskan, sebaliknya, semakan dijalankan oleh pakar sejarah, pensyarah universiti awam, guru-guru cemerlang sejarah, pegawai kurikulum dalam Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah serta panel rujukan.

“Kami serahkan kepada kumpulan profesional,” katanya seperti dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT).

Antara pakar terlibat adalah Abdullah Zakaria Ghazali dari Kolej Universiti Islam Melaka, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, Ishak Saat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, Neilson Ilan Mersat dari Universiti Malaysia Sarawak, Rohani Ab Ghani dari Universiti Utara Malaysia, dan Ho Hui Ling dari Universiti Malaya.

Panel itu dipengerusikan Kamaruzaman Yusoff dari Universiti Teknologi Malaysia.

Pemuda Umno hari ini dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4, mendakwa terdapat unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki juga mendakwa terdapat unsur memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA).

Asyraf juga mendakwa kerajaan lepas secara ‘secara halus dan dan tersirat’ mengangkat anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan. – Roketkini.com