Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Status Undi18: Surat Terbuka Pemimpin Politik Muda Parti-parti Politik Malaysia kepada SPR

Surat Terbuka Pemimpin Politik Muda Parti-parti Politik Malaysia Kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan status terkini pelaksanaan Undi18:

Pada tarikh keramat 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Selain itu juga, RUU tersebut telah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun. Melalui pindaan ini juga, pendaftaran warganegara sebagai seorang pengundi adalah secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.

Sepuluh hari kemudian, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti melebihi dua pertiga. Maka, dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, sepatutnya pilihan raya yang bakal menjelang kelak akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sehingga 21 Jun 2019, seramai 1,524,052 juta pengundi muda akan terkesan dengan pindaan Rang Undang-Undang ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui capaian di laman sesawang rasmi https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/soalan-lazim/undi18 juga meletakkan sasaran bagi tarikh kuat kuasa pindaan ini adalah antara 18-24 bulan mulai September 2019. 

Sebagai pemimpin muda dalam sistem politik merentasi parti di negara ini yang mewakili anak muda, kami ingin mengajukan pertanyaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang hala tuju pelaksanaan Undi18. Kami bersedia untuk dijemput menghadiri sesi penerangan atau perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar maklumat dan situasi semasa dapat kami sampaikan kepada golongan anak muda di dalam parti masing-masing.

Adalah penting untuk kita semua mengakui pindaan ini telahpun menerima kelulusan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Adalah dikhuatiri sebarang tindakan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan Undi18 ini bakal diterjemahkan sebagai usaha menafikan hak anak muda untuk mengundi dan memilih wakil mereka di Parlimen yang kini telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan demokrasi sejak merdeka, penafian hak anak muda ini akan hanya menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

YB Howard Lee Chuan How
Ketua DAPSY Kebangsaan 

Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin
Ketua PEJUANG Muda (Penaja)
Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG)

Shazni Munir Mohd Ithnin
Ketua Pemuda AMANAH Nasional Malaysia

Sharan Raj
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia (PSM)

YB Akmal Nasir
Ketua AMK Kebangsaan

YB Dato’ Mohd Azis Haji Jamman
Ketua Wira Warisan

Felix Joseph Sitin
Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO

Jo -Anna Sue Henley Rampas
Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah

Shahril Sufian Hamdan
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman
Pengasas MUDA