Berita, Rencana

Menangani pandemik Covid-19 secara bertanggungjawab

Oleh Terence Naidu

(Adun Pasir Bedamar dan Ahli Jawatankuasa DAP Perak)

Banyak syarikat dan perniagaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB, sehingga ada yang terpaksa gulung tikar. Pengumuman bantuan oleh kerajaan kepada kumpulan terkesan untuk membantu usaha pemulihan perniagaan dan ekonomi mungkin tidak dirasai oleh semua pihak. Masih ada kumpulan yang tertinggal.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini?

Ambil contoh Australia dan New Zealand. Dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19, kedua-dua negara itu telah mengambil langkah pencegahan dan pengawalan yang ketat dengan menyekat segala pelaksanaan operasi dan apa jua aktiviti dalam negara dengan serta-merta. Hasil tindakan tersebut, kes Covid-19 di kedua-dua berkenaan menurun kepada satu angka, sekali gus dilihat sebagai negara paling cekap dalam menangani penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu.

Meskipun Malaysia telah menerima bekalan vaksin, tahap imuniti kelompok (herd immunity) hanya akan dapat dicapai setelah sebahagian besar rakyat Malaysia diberikan imunisasi. Maka timbul persoalan; adakah kerajaan mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk mengawal pendemik ini dengan kuasa sedia ada. Saya berani katakan: tidak.

Mari kita lihat apa kata Ketua Pengarah Kesihatan semasa pendemik ini mula merebak. 

Katanya, bagi merendahkan kadar penularan jangkitan Covid-19 ujian saringan amat penting bagi mengenal pasti individu yang terdedah kepada Covid-19 tetapi tidak menunjukkan apa-apa simptom (asymtomatic).

Langkah-langkah untuk menguji individu sebegini dilihat amat penting untuk mengurangkan penularan wabak. Malah, pembukaan semula pusat-pusat kuarantin seperti MAEPS adalah salah satu cara untuk mencapai tujuan matlamat tersebut. 

“Test, Identify, Isolate & Treat” (uji, kenal pasti, asing dan rawat) langkah ini dicadang bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan pusat perubatan serta fasiliti sedia ada serta mengurangkan tekanan ke atas fasiliti perubatan. Walau bagaimanapun, cadangan pelaksanaan ujian saringan secara meluas nampaknya tidak dilakukan di semua negeri-negeri di Malaysia termasuk negeri Perak. Mungkin inilah sebab mengapa kita menyaksikan peningkatan yang mendadak kes Covid-19 di Perak yang melonjak kepada 1,215 kes pada 21 Februari 2021 dengan majoriti kes dicatatkan di kawasan Teluk Intan.

Dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi selepas tamat PKP, pelbagai sektor perniagaan dibenarkan beroperasi semula. Akan tetapi, tempat kerja telah menjadi punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 saban hari sehingga wujud “Kluster Tempat Kerja”. Kulster sebegini menjadi lubuk penularan penyakit kerana individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom. Yang menyedihkan adalah tempat penginapan berkelompok (dormitories) dan tempat penginapan pekerja termasuk fasiliti kerajaan seperti penjara yang terdedah kepada risiko jangkitan yang tinggi. Justeru, persoalan yang timbul adalah adakah ujian saringan awal membantu? Sudah tentu, tetapi adakah ia dilakukan secara meluas? Ya, tetapi tidak mencukupi!

Pelaksanaan suntikan vaksin oleh kerajaan kepada penerima bersasar akan dijalankan dalam masa terdekat, namun timbul persoalan adakah pelan tindakan ini telah dirangka secara komprehensif. Jika ya, kerajaan perlu membuat lebih usaha untuk memberi keyakinan kepada masyarakat umum. Adakah anda tahu apakah pelan tindakan ini dan bagaimana ia akan dilaksanakan? Perak akan menerima sehingga 79,650 dos vaksin Covid-19. Daripada jumlah ini sebanyak 33,503 dos vaksin telah dikhususkan kepada barisan hadapan di 49 pusat suntikan vaksin termasuk di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak. Suntikan dos vaksin fasa kedua akan diteruskan kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan individu yang berisiko tinggi pada pertengahan iaitu bulan April sehingga Ogos. Persoalannya, apakah pelan rancangan oleh pihak kerajaan untuk mengurus golongan berkenaan.

Imbas kembali kenyataan Menteri Hal Ehwal Wanita dan Keluarga yang jelas menyatakan bahawa segelintir individu daripada kumpulan berisiko tinggi tidak diklasifikasikan sebagai penerima dos vaksin fasa pertama. Sekiranya golongan individu berisiko tinggi ini tidak disenaraikan dalam penerimaan dos vaksin fasa pertama, maka siapakah yang kerajaan sasarkan sebenarnya? Tambahan pula bukan menjadi rahsia bahawa mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah lazimnya akan menjauhkan diri dan enggan menyertai inisiatif kerajaan untuk menangani wabak ini. Jadi, bagaimanakah kerajaan akan dapat memastikan agar vaksin diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi ini yang menjadi salah satu punca utama kepada peningkatan kes Covid-19 di Malaysia?

Selangor telah menubuhkan unit “Task Force” yang bertindak proaktif dalam melaksanakan ujian Covid-19 dan mewujudkan  ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) bagi mengurangkan kes jangkitan wabak berkenaan. 

Keberkesanan penguatkuasaan ini tidak akan dirasai hanya dengan melaksanakan sekatan jalan raya semata-mata yang sebaliknya membawa gejala lain seperti gangguan seksual, pertikaian sempadan lokasi dan sebagainya. Sekatan jalan raya dan input pihak berkuasa lebih berkesan jika ditempatkan di lokasi yang berisiko tinggi.

Saya memohon dan mencadangkan agar satu “Task Force” diwujudkan bagi mencegah penularan dan peningkatan kes Covid-19 dengan mengambil contoh Selangor yang menerapkan langkah-langkah pencegahan yang wajar dan sistematik. 

Jumlah kes yang tinggi hanyalah suatu petunjuk dan pengurusan kes-kes ini adalah kunci untuk mengawal jangkitan wabak ini dan bagi kes yang berjumlah ratusan ribu – ia lazimnya berlaku di tempat-tempat yang mempunyai penduduk yang padat seperti di New Delhi, Beijing dan New York. Jadi kita tidak boleh samakan 10 kes di Perlis (yang merupakan negeri terkecil) dengan 10 kes di Sarawak (yang merupakan negeri terbesar).

Malangnya pengurusan mikro (micromanagement) terhadap usaha menangani penularan virus ini masih kurang. — Roketkini.com