Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Lantik jurucakap khas untuk vaksin Covid-19 – Lip Eng

Oleh Lim Lip Eng
(Ahli Parlimen Kepong)

Pertama sekali, ingin saya ucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana telah mendapat suntikan dos pertama bagi vaksin Covid-19. Suntikan sulung ini diharapkan dapat memberi sedikit keyakinan kepada orang ramai untuk turut serta dan mengambil vaksin. Tahniah juga kepada para petugas barisan hadapan. Sesungguhnya suntikan awal yang diberikan kepada golongan ini akan menjadi titik permulaan untuk membina semula negara Malaysia, setelah hampir setahun dilanda wabak Covid-19.

Walaupun program vaksinasi Covid-19 di negara kita sudahpun bermula, tetapi terdapat beberapa cabaran yang masih meresahkan banyak pihak. Cabaran utama yang kita perlu hadapi sekarang adalah masih ramai orang di luar sana yang tidak mempunyai keyakinan dan tidak percaya akan keberkesanan vaksin yang akan diberikan ini. Oleh itu, penting untuk pihak kerajaan memastikan informasi umum berkaitan vaksin ini disampaikan kepada rakyat dengan jelas.

Saya mencadangkan agar seorang jurucakap khas dilantik bagi menjelaskan informasi penting berkenaan vaksin Covid-19. Sekiranya kita lihat keadaan semasa, tidak banyak informasi berkenaan vaksin ini disampaikan kepada rakyat umum. Proses penerimaan vaksin secara menyeluruh termasuk jenis vaksin, bilangan dos, waktu penerimaan, senarai keutamaan, dan banyak lagi perlu diterangkan dengan sebaik mungkin supaya orang ramai dapat membina kepercayaan mereka terhadap vaksin ini. 

Apabila terlalu ramai individu seperti menteri-menteri berkata perihal isu yang sama, sudah pasti akan timbul kekeliruan. Justeru, pelantikan jurucakap khas ini akan memastikan kesemua informasi dapat disampaikan dengan baik dan teratur tanpa sebarang percanggahan. Semestinya, lebih ramai orang akan percaya dan yakin terhadap keberkesanan vaksin Covid-19.

Belajarlah dari kesilapan dahulu. Sesungguhnya koordinasi dalam menyampaikan maklumat itu penting bagi mengelakkan kekeliruan. Rakyat mesti dijaga, justeru informasi penting berkaitan vaksin Covid-19 perlu dijelaskan kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.