Berita

Muhyiddin berdepan kesukaran di Pagoh jika pertandingan banyak penjuru

Oleh B. Suffian

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapati kerusi Parlimen Pagohnya kompetitif sekiranya kerusi itu berubah menjadi pertandingan banyak penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, ramal Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong. 

Chin Tong memberitahu, daripada 65 peratus pengundi yang merupakan Melayu di Pagoh, Muhyiddin tidak mempunyai separuh daripada kumpulan itu sementara baki sokongannya datang dari pengundi bukan Melayu yang merupakan 36 peratus dari pengundi kawasan tersebut. 

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Muhyiddin berdepan dua pencabar di Pagoh tetapi memperoleh 23,558 (45.7 peratus) undi daripada 43,667 jumlah pengundi (84.8 peratus), iaitu beliau berdepan calon Umno, Ismail Mohamed yang meraih 16,631 undi (32.3 peratus) sementara calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz mendapat 2,483 (4.8 peratus) undi.

“Saya fikir ia adalah kerusi yang sangat berbahaya untuknya jika bukan pertarungan satu lawan satu. Dengan tiga kerajaan (three kingdom) diterjemahkan ke dalam pertandingan pilihan raya, ia bermaksud ada pertarungan tiga penjuru.

“Tiga kerajaan ini merujuk kepada tiga kekuatan politik pasca Sheraton, yang telah saya jelaskan dalam artikel sebelumnya – Muhyiddin dan rakan-rakannya; Umno dan rakan-rakannya; serta PH dan parti pembangkang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter hari ini. 

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, beliau tidak fikir Muhyiddin akan menjadi sangat popular dalam masa tiga bulan atau setengah tahun ini. 

Jelasnya, sangat sukar bagi Muhyiddin untuk mengubahnya dalam jangka masa singkat, walaupun hingga bulan Ogos. 

“Meskipun apabila beliau (Muhyiddin) begitu popular pada Jun 2020, partinya tidak dan tidak akan popular,” katanya. 

Tambah Chin Tong, memandangkan hubungan Bersatu dengan Umno terus meruncing, ini bermakna Bersatu kini tinggal sokongan dari PAS, iaitu parti komponen satu lagi dari pakatan tiga parti Muafakat Nasional.

“Ini tidak mencukupi.

“Muhyiddin mungkin bertaut di bahu PAS tetapi beliau tidak boleh bergantung sepenuhnya pada PAS. Bersatu kini mempunyai 31 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun tanpa sokongan kedua-dua Umno dan PAS, ia tidak akan dapat mengekalkan kerajaan,” katanya. – Roketkini.com