Berita

PN amal penguatkuasaan dua darjat dalam pelaksanaan SOP PKP

Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan hukuman serta layanan dua darjat yang dilihat jelas merugikan rakyat tetapi menguntungkan menteri. 

Beliau antara lain membangkitkan kes seorang menteri yang sebelum ini didakwa melanggar prosuder operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) namun sehingga kini tidak dikenakan denda.

“Menteri yang tidak mematuhi SOP tidak akan dikenakan apa-apa tindakan tetapi rakyat biasa yang hanya merupakan pesalah kali pertama pula dikenakan denda RM1,000.00 yang kini dinaikkan sepuluh kali ganda kepada RM10,000.00. 

“Inilah kerajaan pintu belakang PN yang melayan menterinya dan rakyatnya dengan piawaian yang berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Untuk rekod, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa sebelum ini didakwa melanggar SOP PKP selepas gambarnya menghadiri jamuan makan dalam sebuah program pada 13 Februari lalu tersebar di media sosial. Sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap pemimpin UMNO itu. 

Kah Leong dalam pada itu turut memetik laporan media yang mendedahkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar bercuti selama 55 hari di New Zealand sedang Malaysia diletakkan di bawah PKP.

“Kini pula didedahkan Timbalan Menteri Santhara Kumar yang telah bercuti di New Zealand selama 55 hari dan dilaporkan bahawa cutinya telah diluluskan Perdana Menteri. 

“Tatkala rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan melawat anak-anak mereka di Johor disebabkan pelbagai sekatan yang dikenakan rejim PN, timbalan menteri PN pula dibenarkan bercuti sambil bergaji lumayan di luar negara.

“Adakah ini cara kerajaan PN prihatin rakyat?” soal Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan itu. 

Sehubungan itu, beliau menggesa Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat meletak jawatan atas ketidakupayaannya untuk berkhidmat demi rakyat. 

“Adalah lebih baik untuk beliau terus bercuti di New Zealand tanpa memegang apa-apa jawatan berkepentingan seperti wakil rakyat dan sebagainya,” tegasnya. — Roketkini.com