Isu Semasa, Kenyataan Akhbar, Uncategorized

Segera selesaikan isu ‘dual-licensing’ taska, tadika

Oleh B. Suffian

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun terus digesa menyelesaikan isu permohonan lesen berkembar (dual-licensing) taska dan tadika.

Mantan Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh berkata, kementerian perlu mengambil inisiatif menyegerakan proses libat urus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pemegang taruh lain.

Langkah ini kata Hannah, adalah bagi meneliti keperluan dan kepentingan membenarkan permohonan lesen berkembar bagi kedua-dua pengusaha yang memiliki taska dan tadika di dalam satu premis.

“Kegagalan ini telah menimbulkan begitu banyak kekeliruan kepada ibu bapa terutama sekali semasa tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Ini apabila kerajaan hanya membenarkan operasi taska yang menjaga kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah tetapi melarang tadika yang menjaga kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, keadaan seperti itu menyukarkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak di taska dan tadika.

Beliau berkata, ini kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk menghantar anak-anak mereka yang berusia empat hingga enam tahun walaupun dapat mengakses perkhidmatan di taska.

Malah, kata beliau, para pengusaha tadika terpaksa menghadapi kesan kewangan yang teruk akibat arahan yang mengelirukan berkenaan.

Hannah seterusnya menyeru Menteri KPWKM dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd. Radzi Md. Jidin supaya menjadikan isu tersebut sebagai keutamaan mereka.

Tambahnya, pengurusan institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak mesti segera diselaraskan di bawah satu kementerian sahaja.

“KPWKM dan KPM perlu melihat kewujudan lesen berkembar kepada pengusaha yang memiliki taska dan tadika akan dapat mengurangkan karenah birokrasi serta mewujudkan sistem pemantauan yang lebih berkesan kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, inisiatif untuk membincangkan mengenai isu permohonan lesen berkembar bagi pengusaha yang memiliki kedua-dua taska dan tadika di dalam satu premis telah pun dimulakan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Usaha itu kata beliau, setelah pihaknya mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh para pengusaha dan ibu bapa.

“Banyak pertemuan telah pun diadakan dengan pemegang taruh bagi merangka penyelesaian mengenai isu ini, malah saya juga telah membangkitkan masalah ini di Parlimen.

“Namun sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan dari Menteri KPWKM, seolah-olah masalah ini seperti tidak mahu
diselesaikan. – Roketkini.com