Berita, Isu Semasa

Selamat Hari Wanita — Terima kasih atas segala bakti dan jasa

Oleh B. Suffian

Bersempena Hari Wanita Sedunia hari ini, pemimpin-pemimpin serta wakil-wakil rakyat DAP telah menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan masing-masing terhadap sumbangan serta pengorbanan golongan wanita di negara ini.

Bagi Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, negara akan maju dan makmur apabila wanita merasa kehidupan mereka lengkap serta berjaya memenuhi cita-cita serta potensi kekuatan diri dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Usaha itu beliau berkata, dilakukan tanpa mengetepikan kehidupan bekeluarga yang dikongsi bersama dengan lelaki.

“Sudah setahun dunia bergelut dengan wabak Covid-19. Di barisan hadapan pergelutan itu, wanita sama-sama menggalas tanggungjawab bersama lelaki.

“Ada wanita yang menanggung tugas berganda; sebagai doktor, jururawat, anggota pasukan keselamatan, guru sekolah, petugas kebersihan dan sebagainya. Merekalah juga yang bergelar isteri dan ibu, malah mungkin juga memikul tugas sebagai bapa,” katanya di Facebook hari ini.

Jelas Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara, semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pertahanan, salah satu agenda kementerian adalah menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam sektor pertahanan dan mewujudkan suasana kerja yang lebih baik untuk mereka bagi menghargai sumbangan wanita.

Menurutnya, masyarakat dan kerajaan perlu mewujudkan dasar dan suasana yang memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang adil untuk wanita di samping menyediakan masa kerja fleksibel, khidmat penjagaan anak kecil dan warga emas bagi membolehkan wanita berkhidmat lebih lama.

“Hari ini kita sama-sama meraikan kekuatan wanita dengan mengangkat kedaulatan mereka. Wanita adalah pejuang barisan hadapan sebenar. Terima kasih atas segala bakti dan jasa. Selamat Hari Wanita Sedunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kecekalan golongan wanita khususnya di Pulau Pinang meneruskan survival dalam cabaran normal baharu ekoran penularan pandemik Covid-19 adalah amat mengagumkan.

Menurut beliau, ini terutamanya keberanian merak mencabar diri untuk mempelajari selok-belok bidang keusahawanan sebagai ikhtiar membantu pasangan serta keluarga terutamanya demi anak-anak.

Serentak itu, katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa konsisten dalam menterjemahkan dasar dan program bagi mengangkat martabat golongan wanita di negeri itu melalui gerak kerja di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan daripada RM1 juta sebelum ini kepada RM2.5 juta (2021) kepada PWDC bagi memperkasakan lagi agenda sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, Hari Wanita Sedunia merupakan hari bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh dunia.

“Tangan yang mengayun buaian dapat menggoncangkan dunia. Selamat Hari Wanita Sedunia,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, jasa dan pengorbanan wanita kepada keluarga dan negara perlu dihargai.

“Wanita senantiasa di barisan hadapan,” katanya. – Roketkini.com