Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Jangan nafikan kemelesetan ekonomi negara – Guan Eng

Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP)

Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa kadar pengangguran Malaysia untuk Januari 2021 meningkat kepada 4.9% daripada 4.8% pada bulan Disember 2020. Berita ini mengecewakan apabila tahun 2021 sepatutnya menjadi tahun pemulihan ekonomi.

Walaupun detik terburuk bagi ekonomi Malaysia mungkin sudah berakhir, ini tidak membantu pekerja yang kehilangan atau yang akan terus kehilangan pekerjaan atau perniagaan yang telah ditutup atau menghadapi risiko penutupan dalam masa terdekat.

Sama seperti salah urus Kabinet terhadap krisis kesihatan COVID-19 yang menjadikan Malaysia negara terburuk di ASEAN dari segi per kapita, pengurusan ekonomi Perikatan Nasional lebih kepada dasar yang sering berubah-ubah, pusingan-U dan janji-janji yang dimungkiri.

Sebagai contoh, unjuran kadar pengangguran 2020, kadar pertumbuhan KDNK dan defisit belanjawan diunjurkan menjadi 4.2%, -4.5% hingga -5.5% dan 6%.  Sebaliknya, angka sebenarnya masing-masing adalah 4.5%, -5.6% dan 6.2%.

Sasaran pengangguran, pertumbuhan KDNK dan defisit Belanjawan yang tersasar berserta dengan janji-janji yang dimungkiri dan kehilangan kepercayaan rakyat akan menjejaskan keyakinan pelabur bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul.

Fitch Ratings ternyata tidak salah dalam menurunkan penarafan kredit antarabangsa Malaysia tahun lalu, ke tahap yang sama dengan Filipina dan Indonesia.

Sekarang kita bergantung pada kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Nasional Covid-19 secara sistematik oleh Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaludin bagi mencapai 80% kekebalan kelompok atau ‘herd immunity’ untuk menyokong rancangan pemulihan ekonomi negara.

DAP telah mengetepikan perbezaan politik kepartian untuk menyokong sepenuhnya program vaksinasi dan imunisasi demi  kepentingan negara dan masa depan ekonomi rakyat.

Bergantung pada program imunisasi sahaja tidak mencukupi, jika Malaysia mahu mencatat pertumbuhan ekonomi lebih tinggi daripada 7.5% tahun ini.

Tahun lalu, kerajaan telah melancarkan rangkaian pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN berjumlah RM305 bilion, namun tidak berhasil.

Pada Januari tahun ini, pakej rangsangan ekonomi Permai berjumlah RM15 bilion dilancarkan setelah kerajaan membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion untuk Belanjawan 2021.

Namun, ini tidak menghalang Malaysia daripada mencatat angka ekonomi terburuk abad ini dengan pertumbuhan ekonomi menguncup sebanyak 5.6%, defisit meningkat menjadi 6.2% dan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5%.

Oleh itu, kerajaan harus segera melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan sebanyak RM45 bilion bagi mencipta pekerjaan baru dan menyelamatkan pekerjaan sedia ada, memperlahan penutupan perniagaan, memberikan subsidi sewa untuk perniagaan dan mewujudkan sumber baru pertumbuhan masa depan.

Kerajaan juga harus menunaikan janjinya sama ada 150,000 tablet dan komputer riba untuk pelajar, atau tidak menyiasat cukai terdahulu bagi mereka yang secara sukarela menyertai program pengampunan cukai, atau meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur.

Kerajaan tidak boleh terus menafikan kebenaran keadaan parah kemelesetan ekonomi yang melanda rakyat dan perniagaan biasa Malaysia.

Setakat ini, masih tidak ada inisiatif ekonomi yang dicadangkan untuk menyelamatkan industri pelancongan yang mencatatkan RM100 bilion kerugian tahun lalu.

Tidak akan ada pemulihan tahun ini untuk industri pelancongan dengan peningkatan jumlah penutupan hotel. Apakah Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen yang diusulkan oleh Perdana Menteri adalah satu alasan licik bagi menutup kegagalan dan salah urus mereka?