Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Perbetulkan kenyataan IGP, menteri pertahanan

Oleh Ngeh Koo Ham 

(Ahli Parlimen Beruas)

Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang Undang-Undang mesti memperbetulkan berita palsu yang disebarkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan berkenaan dengan peruntukan undang-undang di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021. 

Esok (11/3/2021) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 (selepas ini disebut sebagai ‘EO 2021’) akan berkuatkuasa. Pada 27/2/2021, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penguatkuasaan denda kompaun RM10,000-00 yang akan berkuat kuasa pada 11/3/2021 hanya akan dikenakan kepada individu-individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang kali serta mereka yang boleh mencetuskan penyebaran Covid-19. 

Pada 2/3/2021, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipertanggungjawabkan memaklumkan peraturan-peraturan terkini kepada orang ramai mengenai Covid-19 mengulangi kedudukan yang dinyatakan oleh IGP tetapi menyatakan bahawa orang ramai boleh membuat rayuan terhadap kompaun RM10,000-00 tersebut. 

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh IGP dan Menteri Pertahanan adalah salah dan tidak tepat. Saya telah memeriksa peruntukan undang-undang dan mendapati kenyataan-kenyataan mereka tidak disokong oleh mana-mana peruntukan undang-undang sehingga hari ini. 

Saya berasa kesal kerana apabila Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa mengeluarkan kenyataan media mengenai EO 2021 pada 3/3/2021, mereka gagal membetulkan IGP dan Menteri Pertahanan. Mereka juga gagal menjawab pelbagai isu yang telah saya bangkitkan dalam kenyataan-kenyataan media saya yang dikeluarkan pada 30/1/2021, 8/2/2021 dan 1/3/2021. 

Sampai hari ini tidak ada perundangan subsidiari yang dibuat di bawah EO 2021. Sehingga  undang-undang subsidiari di bawah EO 2021 dibuat kedudukan undang-undang di bawah EO 2021 adalah seperti berikut: – 

1. Semua kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Jangkitan 1988 (Akta 342) seperti yang dipinda oleh EO 2021 akan menjadi kesalahan yang lazim boleh ditangkap. Polis akan menangkap menahan dan menyiasat seseorang yang disyaki melakukan sesuatu kesalahan di bawah Akta 342. 

2. Ia meningkatkan hukuman umum bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 menjadi denda tidak melebihi RM100,000.00 dan / atau penjara selama tempoh tidak melebihi 7 tahun. 

3. Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa hanya boleh mengkompaunkan sesuatu kes dengan persetujuan secara bertulis dari Pendakwa Raya. 

4. Hanya setelah mendapat persetujuan bertulis daripada Pendakwa Raya, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa boleh menawarkan kompaun kepada seseorang individu untuk membayar denda jumlah tidak melebihi RM10,000.00 atau bagi sesuatu pertubuhan atau perbadanan denda sejumlah tidak melebihi RM50,000.00. 

Tidak terdapat mana-mana peruntukan undang-undang bahawa kompaun sehingga RM10,000-00 hanya akan dikenakan ke atas individu-individu yang melanggar PKP berulang kali serta mereka yang boleh mencetuskan penyebaran Covid-19. 

Kedudukan undang-undang di bawah Akta 342 sebelum dipinda oleh EO2021 adalah seperti berikut: – 

(i) Kesalahan di bawah Akta 342 adalah kesalahan yang tidak lazim boleh ditangkap. 

(ii) Polis tidak mempunyai kuasa untuk memberikan tawaran kompaun (saman) untuk kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342. 

Oleh itu, polis telah menangkap dan menahan mereka yang disyaki melanggar Akta 342 atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut seperti melanggar PKP atau SOP secara tidak sah kerana mereka ditangkap tanpa waran daripada mahkamah. Tawaran kompaun (saman) yang dikeluarkan oleh polis juga dikeluarkan secara tidak sah kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya. 

Saya memohon kepada mahkamah sebagai penjaga undang-undang kita untuk mengambil maklum tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis dan tawaran kompaun (saman) yang dikeluarkan oleh polis secara tidak sah apabila ada kes-kes ini dibawa ke mahkamah. Kita perlu menegakkan kedaulatan undang-undang sebelum negara kita hancur di bawah pemerintahan PN yang tidak terpilih oleh rakyat dan yang tidak menghormati peruntukan undang-undang negara kita. – Roketkini.com