Berita

Undi 18: Steven bidas pemimpin veteran hina anak muda, Parlimen

Oleh Zamzani Husin

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim membidas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim yang dikatakan memperlekehkan anak muda berhubung pelaksanaan Undi 18. 

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak rasional dan menghina anak muda serta Parlimen, Steven berkata adalah tidak wajar untuk tokoh politik veteran itu mengeluarkan pandangan sebegitu.

“Pemikiran kolot bahawa anak muda belum bersedia menunjukkan bahawa Rais Yatim jelas tidak memahami sentimen majoriti rakyat Malaysia dan tidak cakna tentang anak muda.

“Ini amat sedih bagi seorang pemimpin politik veteran yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Rais sebelum ini dilaporkan sebagai berkata “Undi 18 tahun tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini” dan menyifatkan keputusan untuk melaksanakan Undi 18 adalah tergesa-gesa selain mendakwa anak muda “belum bersedia di sisi tuntutan demokrasi”.

Untuk rekod, Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing meluluskan pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pada 16 Julai 2019 dan pada 25 Julai 2019. 

Mengulas lanjut, Steven yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang berkata, Rais perlu menghormati kehendak Parlimen (the will of Parliament) dan bukan mengeluarkan kenyataan dengan sewenang-wenangnya yang boleh ditafsir sebagai menghina Parlimen. 

“Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, yang merupakan antara penggerak Undi 18 semasa beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menegur rakan sejawatan beliau di Dewan Negara dan mewakili Dewan Rakyat menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan kehendak Parlimen tanpa berlengah lagi. 

“Sudah tiba masanya untuk Parlimen menjalankan pengawasan pasca-legislatif (post-legislative scrutiny) terhadap pindaan yang begitu penting ini untuk mengelakkan kerajaan yang memerintah berdolak dalik dalam pelaksanaannya,” ujarnya. — Roketkini.com