Berita, Kenyataan Akhbar

DAP lindungi rakyat, tawar khidmat guaman percuma

Oleh B. Suffian dan Ghafar NS

DAP akan menawarkan khidmat guaman percuma terhadap individu yang dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu harus berjuang dan terus berjuang untuk melindungi rakyat.

“Saya telah mengumumkan bahawa DAP akan membela rakyat yang menghadapi kenaikan denda yang kejam ini di mahkamah secara percuma.

“DAP Perak telah mengambil langkah pertama untuk membentuk pasukan undang-undang sekurang-kurangnya 12 peguam dan kita akan melakukannya di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak di Ipoh semalam.

Bermula Khamis lalu, kerajaan mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tindakan penghukuman tersebut adalah tidak patut apabila rakyat sudah menderita akibat kemelesetan ekonomi.

Beliau mendakwa, menteri mungkin mampu membayar denda seperti itu tetapi adakah mereka akan dikenakan tindakan seperti rakyat biasa.

Dakwanya, tiada sebarang tindakan dilihat terhadap menteri Perikatan Nasional (PN) seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Annuar Musa yang melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Begitu jelas amalan dua darjat apabila rakyat biasa didenda RM10,000 kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera atau pelanggan (Zachary Yeoh) yang tidak memakai pelitup muka semasa sedang makan di restoran.

“Semalam, Menteri dan Timbalan Menteri yang menyambut Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tidak nampak seperti mematuhi SOP. Adakah tindakan akan diambil?” soalnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Bantuan Guaman DAP, Ramkarpal Singh berkata, bantuan guaman akan memberi keutamaan kepada golongan B40.

“Initiatif ini akan dilaksanakan di setiap negeri di mana mereka yang dikenakan penalti tersebut boleh menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya.

“Maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya.- Roketkini.com